Bangkit isu sensitif untuk raih perhatian
SEMANGAT perpaduan menjadi aspirasi kepada kemajuan Malaysia terutama dalam kalangan rakyat pelbagai budaya, agama dan etnik penting bagi membentuk kestabilan ekonomi dan kegemilangan negara.
Perpaduan dan patriotisme dititikberatkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 daripada penjajahan British dan 16 September 1963 apabila Malaysia dibentuk menerusi penyatuan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Selepas mencapai kemerdekaan, negara memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, mengurus aset negeri dan melindungi hak penduduk.
Dalam konteks keseluruhannya, perpaduan menjadi intipati penting dalam memastikan keharmonian di antara kepelbagaian budaya bagi memenuhi harapan rakyat membentuk kemakmuran sebagai negara merdeka.
Perpaduan inilah yang digambarkan kepada penyatuan rakyat menjadi satu identiti nasional.
Perkongsian budaya, tradisi dan nilai antara etnik seperti Melayu, Cina, India, dan lain-lain membuktikan perpaduan tersergam indah serta menjadi nadi semangat cintakan negara.
Umpama peribahasa Melayu, serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Ia membawa maksud kehidupan masyarakat yang saling bersatu hati antara satu sama lain.
Peribahasa itu juga mendidik kita supaya mengutamakan perpaduan agar dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera.
Namun dalam mengukuhkan kerukunan masyarakat, pasti ada ujian yang sedikit sebanyak menyentuh sensitiviti hingga berlaku perpecahan serta terjadinya persengketaan.
Kebimbangan itu turut disuarakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerusi titah baginda pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-68 baginda, minggu lalu.
Titah baginda, demokrasi yang sihat dan negara yang progresif mengutamakan amalan perimbangan kuasa, menghormati amalan semak dan imbang antara tiga cabang kerajaan tersebut.
Penumpuan kuasa yang keterlaluan kepada mana-mana institusi atau kelemahan ketara salah satu daripada institusi tersebut biasanya menjadi punca kepada ketempangan perjalanan negara, menjurus kepada tercicirnya keadilan, mendorong kepada penyalahgunaan kuasa, mengakibatkan perpecahan rakyat, berakhir dengan persengketaan warga selanjutnya keruntuhan kerajaan.
Menurut baginda, 67 tahun lalu, negara telah dibina dengan falsafah kenegaraan yang mengutamakan semangat bekerjasama antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa.
Sultan Nazrin bertitah, negara kini sedang menghadapi perkembangan yang semakin mengancam perpaduan warga.
“Apabila agama dan kaum dijadikan benang tenunan untuk menganyam hamparan politik, dan apabila agama dan kaum dijadikan mata wang yang sah untuk meraih laba politik, retorik-retorik atas nama agama yang bernada keterlaluan, dan slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif semakin digemakan.
Retorik dan slogan sedemikian, laksana bara yang semakin menyalakan puntung – menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara,” titah Sultan Nazrin.
Nasihat dan saranan membentuk perpaduan bukanlah suatu pilihan sebaliknya ia kewajipan menjadi teras kepada seluruh organisasi bermula daripada pemimpin hinggalah kepada komuniti.
Kepentingan mengamalkan perpaduan dapat mewujudkan masyarakat harmoni dan tinggi kasih sayangnya sekali gus memartabatkan adab.
Jangan lagi ada pihak cuba menangguk di air keruh serta wujud rasa curiga antara satu sama lain demi meraih secebis perhatian.
Mempergunakan isu sensitif adalah tidak baik untuk kemakmuran negara.
* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!