Biden, Trump sepakat untuk peralihan kuasa yang aman
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden terpilih, Donald Trump bertemu di Rumah Putih pada Rabu untuk berbincang mengenai proses peralihan kuasa.
"Tahniah. Seperti yang dikatakan, kami akan memastikan peralihan berjalan lancar dan menyediakan segala yang diperlukan.
"Selamat datang, selamat kembali," kata Biden kepada Trump di Pejabat Oval.
Trump, yang memenangi penggal kedua dalam pilihan raya Presiden minggu lalu mengucapkan terima kasih kepada Biden dan mengakui dunia politik adalah 'sukar'.
"Dan dalam banyak keadaan, ia bukan arena yang baik, tetapi hari ini ia sangat baik dan saya sangat menghargainya. Peralihan ini akan berlangsung dengan lancar dan saya sangat berterima kasih,” katanya.
Wanita pertama Jill Biden turut menyertai Biden mengalu-alukan kehadiran Trump, menurut kenyataan Rumah Putih.
Wanita pertama itu menyerahkan surat ucapan tahniah untuk isteri Trump, Melania dan menyatakan kesediaan pasukannya untuk membantu dalam peralihan kuasa, menurut kenyataan itu.
Parti Republikan meraih majoriti dalam pilihan raya lalu, sekali gus menguasai Dewan Perwakilan, Senat dan Rumah Putih.
Trump memenangi pilihan raya dengan memperoleh 312 undi Badan Perwakilan Pemilih, melepasi ambang 270 undi yang diperlukan mengalahkan pencabarnya dari Parti Demokrat, Kamala Harris.
Jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre memaklumkan kepada wartawan bahawa Biden dan Trump mengadakan pertemuan selama kira-kira dua jam.
"Mereka membincangkan isu-isu penting mengenai keselamatan negara dan dasar domestik yang sedang dihadapi oleh negara dan dunia,” kata Jean-Pierre.
Biden turut menekankan "perkara penting" yang perlu diselesaikan oleh Kongres dalam sesi akhir penggal, termasuk pembiayaan kerajaan dan dana bantuan bencana yang diminta presiden.
"Kami akan memastikan peralihan kuasa yang teratur dan aman,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!