Amorim sinar baharu Manchester United - Fernandes

Amorim
Amorim
A
A
A

KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes percaya kehadiran bekas pengendali Sporting Lisbon, Ruben Amorim berupaya memberi impak besar di Old Trafford sama seperti yang telah dilakukan pengurus muda itu semasa berkhidmat di Estadio Jose Alvalade.

Amorim, 39, tiba di pangkalan latihan United Carrington pada Selasa, sehari selepas mengendalikan perlawanan terakhir liga bersama Leoes dengan kemenangan 4-2 ke atas Sporting Braga.

Tiga mata diraih di Estadio Municipal de Braga itu merupakan kemenangan ke-11 berturut-turut Sporting ketika Verde e Brancos berusaha merangkul kejuaraan Liga Primeira secara berturut-turut buat kali pertama sejak 1950-an.

Sporting mengharungi hampir 20 tahun tanpa memenangi liga sehingga Amorim membawa Leoes merangkul kejuaraan pada 2021, satu transformasi yang mengagumkan ramai pihak, termasuk rakan senegara Fernandes yang menyarung jersi The Red Devils.

"Saya harap dia melakukan perkara sama bersama Manchester United kerana kadang-kadang seseorang boleh memberikan tenaga baharu, jika tepat pada masanya.

“Sememangnya, kami berharap dia datang, dan ini adalah masa yang sesuai untuk dia datang membawa tenaga baharu, kualiti dan pengetahuan mengenai bola sepak, setelah dia melakukan sesuatu yang sangat luar biasa bersama Sporting Lisbon.

"Jika seseorang meraguinya, ia sesuatu berkenaan masa lalu. Sporting Lisbon, 20 tahun tanpa memenangi liga, dan dia berjaya membawa kembali kejuaraan liga, malah memenanginya dua kali dalam empat tahun dengan pasukan yang sangat muda, perubahan serta kemajuan yang sangat pantas," kata tonggak skuad Portugal berkenaan.

Sebagai rekod, Amorim dilantik sebagai pengendali baharu The Red Devils selepas pemecatan Erik ten Hag pada 28 Oktober lalu selepas rentetan keputusan buruk yang menyebabkan United terperosok di kedudukan ke-14 Liga Perdana Inggeris.

Artikel Berkaitan:

United selepas pemecatan ten Hag meraih tiga kemenangan dan satu keputusan seri daripada empat perlawanan dikendalikan pengendali sementara Ruud van Nistelrooy, naik ke tangga ke-13, empat mata di belakang kelab tiga teratas.

Van Nistelrooy meninggalkan The Red Devils pada Selasa selepas mengetahui dia tidak akan menjadi sebahagian daripada kakitangan Amorim.

Amorim sebelum itu berjaya memikat hati penyokong setia Manchester United apabila Sporting Lisbon membelasah seteru tetangga United, Manchester City 4-1 dalam kempen Liga Juara-Juara pada 5 November lalu.

Kemungkinan penyokong-penyokong Manchester United perlu bersabar untuk menunggu bagi melihat The Red Devils memusnahkan jiran tetangga Manchester City dengan cara sedemikian.

Namun Fernandes menegaskan akan menyokong pendekatan Amorim untuk mencari cara membentuk The Red Devils mengikut gayanya.

"Dia seorang pengendali yang sangat bijak, dan yang telah melakukan perkara yang sangat positif untuk Sporting Lisbon secara taktikal.

“Tetapi jelas seperti yang kami selalu katakan, anda tidak boleh membawa atau mengubah apa yang telah dia lakukan di Sporting Lisbon ke Manchester United, kerana anda mempunyai pemain, cara bermain dan segala-galanya yang berbeza.

"Biarpun begitu saya cukup yakin bahawa idea bola sepak dia, dengan cara dia mahu pasukan bermain, akan menjadi idea yang bagus seterusnya membawa kejayaan kepada kita," kata Fernandes.

Pada 25 November, Amorim buat pertama kali akan mengetuai Manchester United ke Portman Road bagi aksi Liga Perdana Inggeris menentang Ipswich Town.

INFO

10 perlawanan pertama Amorim bersama Manchester United

1. Ipswich Town (Liga Perdana Inggeris)

2 Bodo Glimt (Liga Europa)

3. Everton (Liga Perdana Inggeris)

4. Arsenal (Liga Perdana Inggeris)

5. Nottingham Forest (Liga Perdana Inggeris)

6. Plazen Viktoria (Liga Europa)

7. Manchester City (Liga Perdana Inggeris)

8. Tottenham Hotspur (Piala Liga)

9. Bournemouth (Liga Perdana Inggeris)

10. Wolverhampton (Liga Perdana Inggeris)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!