Ketua tentera Thailand menangis mohon maaf

Jeneral Apirat Kongsompong
Jeneral Apirat Kongsompong
A
A
A

BANGKOK - Ketua tentera Thailand dengan penuh emosi memohon maaf atas tindakan kejam seorang anggota tentera yang melancarkan serangan tembakan berlarutan selama 19 jam hingga meragut 29 nyawa dan mencederakan 57 yang lain sebelum dia ditembak mati pada pagi Ahad lalu.

“Saya amat kesal dengan kejadian itu. Dia bukan lagi seorang anggota tentera dan merupakan penjenayah ketika dia bertindak membunuh orang tidak berdosa," kata Jeneral Apirat Kongsompong sambil mengesat air matanya pada sidang media selama 90 minit di ibu negara itu hari ini.

Menurutnya, tentera juga akan membantu memberikan pampasan kepada kesemua mangsa dan waris keluarga mereka.

Ketika insiden menggemparkan pada Sabtu lalu, Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma, 32, melancarkan tembakan rambang di pusat beli-belah, Terminal 21 di bandar timur laut Nakhon Ratchasima selepas menembak mati pegawai atasannya dan ibu mentua mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tentera mengamuk buat FB Live bunuh orang awam ditembak mati

Apirat memaklumkan tentera akan menyiasat tentang punca perselisihan itu yang disebabkan oleh urusan jual beli rumah hingga membawa kepada pembunuhan Kolonel Anantharot Krasae, 48, dan ibu mentuanya, Anong Mithcha, 63.

“Anantharot dipercayai mengambil kesempatan ke atas suspek dan melanggar perjanjian berkaitan wang dan ibu mentuanya dipercayai menjadi perantara proses itu. Pihak berkuasa akan mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam skim tersebut dan akan menyediakan saluran komunikasi baharu bagi membolehkan anggota membuat aduan secara terus kepada ketua tentera.

“Saya telah mengarahkan langkah itu dibuat. Saya rasa tidak ada rakyat di negara ini yang mahu kejadian seperti itu berulang. Tolong jangan salahkan tentera, anda boleh salahkan saya. Saya sebagai ketua tentera terima segala kritikan dan pendapat,” jelasnya lagi sambil menambah misinya sebelum bersara pada Oktober depan adalah untuk memastikan anggota tentera mendapat hak yang adil.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Raja Maha Vajiralongkorn memperkenan pengebumian diraja terhadap 29 mangsa yang terbunuh dalam kejadian amuk dilancarkan oleh Jakrapanth.

Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha berkata, raja dan permaisuri turut menyampaikan ucapan takziah dan berkenan mahu memberikan sokongan moral kepada kesemua keluarga mangsa serta anggota keselamatan yang terkorban. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!