Ajaran dibawa Nasiruddin, GISBH sesat dan menyeleweng - MKI
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dari syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan pengikutnya adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKI Kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September lalu.
Menerusi kenyataan, Nooh berkata, enam ciri-ciri penyelewengan dari kumpulan itu termasuklah Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi manakala pengasas pertubuhan al-Arqam, Asaari Muhammad sebagai pembantunya di akhir zaman.
Ajaran Asaari atau dikenali sebagai Abuya dalam kalangan pengikutnya boleh memberi syafaat kepada pengikutnya juga didapati sesat.
"Turut didapati sesat dan menyeleweng adalah fahaman air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut serta janggut pemimpin mempunyai keberkatan," katanya pada Khamis.
Selain itu, ujar beliau, GISBH mengamalkan ekonomi riba ashi yang mempunyai unsur perhambaan.
"Keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah selain amalan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat," jelas Nooh.
Tegasnya, umat Islam hendaklah hendaklah menjauhi ajaran, pegangan, dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan kerana perkara ini membawa penyelewengan daripada ajaran Islam yang sebenar.
"Mana-mana individu yan mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan, bersubahat atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman tersebut hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha," katanya.
Menurut Nooh, sebarang bahan terbitan media cetak atau elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran Nasiruddin dan GISBH adalah dilarang.
"Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran serta ulangannya, termasuklah filem, audio visual, rakaman, laman sesawang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MKI mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan bersesuaian bagi tujuan tersebut.
Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-267 pada 23 hingga 24 Oktober lalu.
"Majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!