[VIDEO] GISBH: Timbalan mudir didakwa mengajar tanpa tauliah

A
A
A

REMBAU - Seorang timbalan mudir sebuah madrasah berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis atas pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Ghazalyi Othman, 54 bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Bicara, Nurul Fadhlina Che Daud selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar agama Islam berkenaan dengan Tauhid dan Tafsir kepada pelajar-pelajar di madrasah di Kampung Senama Hilir, Rembau tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

Kesalahan itu dilakukan pada penghujung tahun 2022 hingga September 2024.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2009 iaitu mengajar agama tanpa tauliah.

Muhammad Ghazalyi diiring penguat kuasa JHEAINS ketika hadir ke mahkamah.
Muhammad Ghazalyi diiring penguat kuasa JHEAINS ketika hadir ke mahkamah.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya

Mahkamah kemudian menetapkan bon jaminan RM2,500 dengan dua penjamin yang bermastautin di Negeri Sembilan dan sebutan semula kes 16 Januari depan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes dikendalikan, Pendakwa Syarie Kanan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azrul Izham Jaapar.

Pada Selasa lalu, media melaporkan Muhammad Ghazalyi dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kerana didapati mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah yang merupakan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak di lokasi sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Zulfikri Yasoa atas pertuduhan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu perbuatan salah.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!