Pemandu lori dikesan jual diesel syarikat kepada sindiket RM2 seliter
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan kegiatan menjual diesel bersubsidi kepada sindiket yang aktif sejak sebulan lalu menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah premis melombong pasir di Jalan Gopeng Batu 3, Batu Gajah pada Rabu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak kira-kira jam 7.30 pagi hasil maklumat orang awam serta risikan yang dijalankan selama dua minggu di sekitar Batu Gajah.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, pemandu-pemandu lori yang tidak amanah itu disyaki menjual diesel lori syarikat tempat mereka bekerja dengan harga RM2 kepada pihak sindiket sebelum dijual semula kepada syarikat pelombong pasir dengan harga RM2.80 seliter untuk kegunaan jentera melombong.
"Ketika serbuan di tempat kejadian, pemandu lori sedang memindahkan diesel dari tangki tambahan menggunakan pam penyedut ke dalam beberapa bekas untuk kegunaan di tapak perlombongan pasir.
"Hasil pemeriksaan juga telah menemui anggaran sebanyak 1,725 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam dua tangki fiber berkapasiti 1,000 liter yang berada di dalam lori.
"Tiada sebarang permit atau lesen barang kawalan dijumpai di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kamalludin berkata, susulan itu dua lelaki warga tempatan yang disyaki sebagai pemandu lori dan pemilik premis masing-masing berumur 28 tahun dan 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, cecair yang disyaki diesel, kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam minyak, wayar hos dan lain-lain telah disita untuk tindakan lanjut dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM58,577.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM2 juta jika sabit kesalahan bagi syarikat atau perbadanan.
"Sekiranya kesalahan dilakukan individu, denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.
"KPDN ingin memberikan amaran dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang-barang kawalan dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah.
"Kita akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dengan Inisiatif baharu dikenali sebagai Kita Gempur sebagai langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian, membanteras monopoli dan kewujudan kartel," katanya.
Dalam pada itu, Kamalludin memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau melalui saluran aduan yang disediakan untuk bersama-sama membanteras aktiviti penyelewengan daripada terus berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!