Pelantikan bebas politik antara 5 langkah reformasi disyor IDEAS

Aira Azhari, Alissa
Aira Azhari, Alissa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mencadangkan kerajaan melakukan lima langkah atau rangka kerja reformasi besar-besaran terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk menguatkuasakan pelantikan bebas politik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aira Azhari berkata, gesaan itu bagi memastikan GLC dan GLIC beroperasi secara telus dan selaras dengan matlamat ekonomi serta kesejahteraan awam negara.

Katanya, penguatkuasaan pelantikan bebas politik yang layak dan polisi konflik kepentingan perlu diwujudkan.

“GLC dan GLIC memerlukan pelantikan yang telus dan bebas daripada bias politik terutamanya daripada ahli politik aktif.

“Kerajaan juga mesti menetapkan rasional pemilikan dan tujuan strategik dengan menyatakan dengan jelas tujuan setiap GLC, termasuk proses penswastaan untuk entiti yang tidak penting,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Aira berkata, pemantauan ketat dan pengawasan pusat perlu dilaksanakan menerusi penubuhan piagam prestasi dengan objektif yang boleh diukur untuk impak sosial dan ekonomi yang tertakluk kepada laporan awam tahunan seperti standard syarikat tersenarai.

Menurut beliau, langkah berikutnya ialah meningkatkan perlindungan pemberi maklumat dan pihaknya menyokong penubuhan ombudsman bebas yang menawarkan saluran selamat untuk mendedahkan salah laku.

“Rangka kerja terakhir ialah dari segi peranan Parlimen dalam akauntabiliti iaitu Parlimen perlu berperanan sebagai badan pengawasan utama dengan ahli Parlimen (MP) melaksanakan tugas mereka dalam Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSSC) dan bukannya menerima jawatan dalam lembaga pengarah GLIC.

Artikel Berkaitan:

“Ini menguatkan pemisahan antara tadbir urus dan pengawasan, memberi kuasa kepada MP untuk memastikan GLIC bertanggungjawab kepada rakyat,” tegasnya.

Aira menegaskan, menerusi inisiatif Pantau Kuasa IDEAS, pihaknya melihat dengan jelas bagaimana pengawasan yang kuat dan pelantikan bebas penting untuk tadbir urus yang bertanggungjawab.

“Piagam Prestasi yang tersusun dengan objektif yang jelas, laporan yang telus, dan tadbir urus yang bebas akan memastikan GLC bertanggungjawab kepada awam, bukan agenda politik,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Penyelidikan Kanan IDEAS, Alissa Rode berkata, pihaknya tidak menyokong Kabinet atau Parlimen yang secara langsung meluluskan keputusan pelaburan atau imbuhan GLC, kerana ia boleh memperburukkan campur tangan politik.

“Sebaliknya, kerajaan harus bertindak sebagai pemilik yang aktif, menetapkan polisi panduan untuk imbuhan lembaga pengarah dan piagam prestasi yang terdefinisi dengan jelas.

“Parlimen mempunyai peranan utama untuk memeriksa pematuhan GLC terhadap polisi, menyemak polisi tadbir urus dan memperkukuhkan pengawasan,” katanya.

Katanya, tindakan memasukkan piawaian berkenaan dalam undang-undang akan memastikan ketelusan GLC, melindungi dana awam dan memastikan bahawa GLC berkhidmat untuk kepentingan rakyat secara mampan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!