Upah RM2,000, suami isteri gadai nyawa seludup dadah

Kok Chin (tengah) menunjukkan rampasan dadah bernilai RM2 juta hasil penahanan tiga suspek di kawasan tempat letak kereta Pusat Perniagaan Slim Perdana, Taman Sri Jaya dekat Slim River pada Isnin.
Kok Chin (tengah) menunjukkan rampasan dadah bernilai RM2 juta hasil penahanan tiga suspek di kawasan tempat letak kereta Pusat Perniagaan Slim Perdana, Taman Sri Jaya dekat Slim River pada Isnin.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang lelaki ibarat menggadai nyawanya dan isteri apabila sanggup dibayar upah RM2,000 bagi menyeludup masuk bekalan dadah ke negara ini sejak 11 bulan lalu.

Kegiatan pasangan berusia 25 tahun itu terbongkar selepas ditahan bersama seorang rakan lelaki berusia 27 tahun dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta Pusat Perniagaan Slim Perdana, Taman Sri Jaya dekat Slim River di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan sekitar jam 3.35 petang itu, polis telah menahan sebuah kereta jenis Proton Preve dinaiki suspek.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas but kenderaan itu kemudiannya menemui 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 51.97 kilogram dianggarkan bernilai RM2 juta yang disembunyikan dalam beg pakaian.

"Hasil siasatan dijalankan, lelaki terbabit mengaku bertindak sebagai penghantar dengan menerima bayaran RM2,000 bagi sekali penghantaran.

"Dia turut membawa bersama isteri serta rakan sebagai pembantu dan membayar mereka dengan upah RM100," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini pada Khamis.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran melalui sempadan utara Malaysia.

Katanya, bekalan itu kemudiannya dibawa menggunakan jalan darat terus ke Lembah Klang bagi pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya ketiga-tiga suspek ini mempunyai kaitan dengan sindiket yang pernah kita lakukan tangkapan dalam beberapa kes di Lembah Klang sebelum ini.

"Ini berdasarkan kepada modus operandi digunakan dan bungkusan dadah yang dirampas," katanya.

Sementara itu, Kok Chin berkata, ketiga-tiga suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 18 November ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujar beliau, saringan awal mendapati, lelaki yang bertindak sebagai penghantar itu positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai tiga rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

"Polis akan lakukan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.

"Kita dapati mereka ada upline (ketua) dan individu yang bertindak sebagai main transporter (penghantar) ini akan melatih pembantu mereka pula menjadi penghantar.

"Dengan upah diterima itu, orang kata sangatlah tidak berbaloi dengan hukuman yang diterima," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!