Tiga lelaki terima upah RM300 bawa rokok seludup bernilai RM172,352
KOTA BHARU - Tiga lelaki yang dipercayai menerima upah RM300 bagi membawa rokok seludup bersetem cukai palsu bernilai RM172,352 ditahan di tiga lokasi berasingan di sini Ahad lalu.
Suspek berusia 30 hingga 47 tahun ditahan di Pasir Tumboh dan Telipot pada jam 11.30 pagi serta 11.50 pagi.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, mereka ialah masing-masing pemandu van yang membawa muatan kotak-kotak berisi rokok seludup berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di dalam tiga van itu menemukan rokok yang disyaki menggunakan setem cukai palsu.
“Rokok berjumlah 254,800 batang tersebut dirampas manakala tiga pemandu yang dipercayai menerima upah RM300 untuk membawa rokok-rokok itu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Kelantan, di Padang Bongor, di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, kesemua suspek dilepaskan dengan jaminan antara RM20,000 dan RM30,000 bagaimanapun siasatan terus dijalankan.
Beliau mengulas, taktik penyeludup menggunakan modus operandi setem cukai palsu tersebut dipercayai bertujuan mengelak duti atau larangan ke atas rokok terbabit.
“Rokok tersebut dipercayai dibawa masuk melalui jalan darat menggunakan lori untuk ke pasaran Pantai Timur khususnya negeri Kelantan.
“Siasatan kami diteruskan mengikut Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.
Orang ramai juga digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan rokok dan barangan lain seperti minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!