Pengamal media bincang masa depan berita di Persidangan Kewartawanan KPF di Seoul
SEOUL - Persidangan Kewartawanan Korea Press Foundation (KPF) 2024 membuka tirai pada Khamis dengan sesi pra-Persidangan Kewartawanan ASEAN-Korea, menghimpunkan pengamal media dari ASEAN untuk membincangkan kesan teknologi digital terhadap pengeluaran, pengedaran dan penggunaan berita.
Setiausaha Editorial Kompas Daily dari Indonesia, Indriastuti Dewi berkongsi pandangannya mengenai bagaimana teknologi digital mengubah aliran kerja di organisasinya, terutamanya sebagai sebuah akhbar tradisional.
Beliau menjelaskan bahawa mesyuarat pagi yang dahulunya bermula pada 10 pagi, kini diadakan seawal 7 pagi untuk menangani aliran berita yang berterusan di media sosial sepanjang 24 jam sebelumnya.
Mesyuarat awal membolehkan pasukan membincangkan topik trending dan merancang liputan yang bersesuaian.
"Pada penghujung setiap hari sekitar 5 petang, kami mengadakan mesyuarat lain untuk menentukan berita yang akan dimuatkan dalam akhbar keesokan harinya.
"Pada mulanya, beralih kepada jadual ini agak mencabar bagi kami. Namun, dengan segala-galanya berubah begitu pantas, kami terpaksa menyesuaikan diri untuk kekal relevan,” katanya.
Dewi turut menekankan langkah penjimatan kos yang ketara: Sebelum ini, Kompas bergantung pada perkhidmatan penterjemah pihak ketiga untuk menterjemahkan artikel daripada Bahasa Indonesia kepada Bahasa Inggeris yang menelan kos sekitar 800 juta rupiah (US$50,603) setahun.
Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi AI, Kompas kini menggunakan AI untuk terjemahan, memberikan penjimatan yang besar sambil mempamerkan bagaimana agensi media global memanfaatkan teknologi untuk terus berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
Menyentuh mengenai penularan maklumat palsu, beliau berkata, "Maklumat palsu boleh tersebar dengan pantas. Di Kompas, kami menggunakan kaedah yang dipanggil ‘riding the wave’. Apabila kejadian tular berlaku di media sosial, orang ramai akan merujuk kepada kami untuk kesahihan berita.”
Beliau menekankan bahawa sebagai pengamal media profesional, menjadi tanggungjawab mereka untuk menyediakan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai kepada orang ramai.
Sementara itu, Timbalan Editor Khmer Times dari Kemboja, Taing Rinith menyentuh mengenai dua sisi teknologi komunikasi.
Walaupun teknologi ini memudahkan kerja wartawan dengan memberikan akses lebih mudah kepada maklumat dan idea, beliau memberi amaran bahawa ia juga membenarkan sesiapa sahaja memainkan peranan sebagai wartawan, menimbulkan kebimbangan terhadap ketepatan dan etika kandungan yang dikongsikan.
"Dengan kemudahan untuk menyiarkan berita di media sosial, ketepatan dan etika ‘wartawan’ ini menjadi persoalan. Ramai yang lebih mengutamakan perhatian berbanding pelaporan fakta dan tidak terikat dengan piawaian etika,” katanya.
Wartawan Bernama, Wan Muhammad Aslah Wan Razali pula membincangkan cabaran untuk menarik perhatian golongan muda dalam era akses maklumat yang pesat.
"Ini adalah cabaran bagi organisasi berita untuk bersaing, tetapi di Bernama, kami menyesuaikan diri dengan menyasarkan golongan Gen Z dan milenial melalui platform media sosial,” katanya.
Beliau menekankan keperluan kandungan yang ringkas dengan menyatakan bahawa memandangkan tempoh tumpuan hanya sekitar 8 hingga 15 saat, Bernama mencipta video selama 15 saat untuk platform seperti TikTok bagi menerangkan topik dan isu berita.
"Apabila semakin ramai beralih ke media sosial untuk mendapatkan berita, media perlu menyesuaikan diri dengan platform yang menjadi tumpuan ramai.
Semakin ramai memilih mendapatkan kemas kini di media sosial berbanding laman sesawang berita tradisional.
"Dengan menerima perubahan ini, organisasi media dapat berhubung dengan orang ramai dengan lebih berkesan dan kekal bersaing dalam landskap digital yang sentiasa berubah,” katanya.
Penolong Editor Berita SPH Media di Singapura, Ng Soon Kiat menjelaskan perubahan besar yang dilakukan oleh organisasinya untuk memenuhi keperluan pengguna yang mementingkan akses melalui peranti mudah alih.
"Semakin ramai yang beralih ke media sosial untuk mendapatkan berita dan maklumat.
"Sebagai tindak balas, SPH Media menyusun semula sistem pengurusan kandungan kami untuk memberi keutamaan kepada akses mudah alih terlebih dahulu, manakala produk cetakan menjadi fokus kedua,” katanya.
Langkah strategik ini, melibatkan perubahan menyeluruh dalam aliran kerja mereka-daripada pengumpulan berita hingga pengedaran, kata Ng.
Dengan memberi tumpuan kepada kandungan mesra peranti mudah alih, SPH Media berhasrat memastikan kandungannya boleh diakses dan menarik untuk pengguna mudah alih, seiring dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap kandungan digital.
"Kami percaya pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pengguna tetapi juga membantu kami kekal bersaing dalam landskap digital yang berubah pantas,” kata Ng.
Persidangan Kewartawanan KPF 2024 yang berlangsung dari 13 hingga 15 Nov, menghimpunkan pengamal media profesional, sarjana dan pakar industri untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam dunia kewartawanan yang berkembang.
Bertemakan, "Journalism and Embracing AI,” persidangan kali ini menekankan peranan kecerdasan buatan dalam mengubah penghasilan dan penggunaan berita. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!