Imarah Al-Quran bakal himpun 1,500 pencinta al-Quran

Program Imarah Al-Quran yang bakal berlangsung pada Sabtu menampilkan pelbagai pengisian aktiviti untuk mendekatkan orang ramai dengan al-Quran.
Program Imarah Al-Quran yang bakal berlangsung pada Sabtu menampilkan pelbagai pengisian aktiviti untuk mendekatkan orang ramai dengan al-Quran.
A
A
A

IPOH - Rumah Ngaji Negeri Perak bersama Sinergi Ikhlas bakal menghimpunkan seramai 1,500 pencinta al-Quran sempena program Imarah Al-Quran di Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada Sabtu ini.

Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, program Imarah Al-Quran dianjurkan dengan membawa misi untuk mengajak ummah mencintai, membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.

Menurutnya, ia merupakan sebuah program ilmiah bagi membincangkan tentang ilmu tanpa batas yang terkandung di dalam al-Quran dengan kerjasama sebuah universiti terkemuka iaitu UTP.

"Tercetusnya idea untuk program Imarah Al-Quran bermula dengan cadangan untuk mengadakan Konvensyen Quran yang dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana memerlukan dana yang agak besar.

"Jadi wakil Akademi Sinergi Ikhlas mempelawa Rumah Ngaji Negeri Perak untuk mengadakan program untuk mengajak orang ramai memahami Al-Quran yang kami namakan Imarah Al-Quran," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Robaatun Hadayiah berkata, program tersebut dijangka akan dihadiri seramai 1,500 orang melibatkan pelajar UTP, ahli-ahli Rumah Ngaji, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.

Katanya, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim dijadual akan merasmikan program berkenaan diikuti alunan ayat-ayat suci al-Quran daripada qari terkemuka negara.

Menurutnya, beberapa sesi ceramah serta perkongsian melibatkan interaksi dengan peserta diadakan melibatkan dua bahagian iaitu pentas utama dan reruai yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, aktiviti di pentas utama akan melibatkan ceramah, tarannum dan pembentangan kertas kerja oleh tokoh-tokoh seperti Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Shafiq Sahimi; Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, Aiman Ridhwan Mohd Ramlan serta Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun 2004, Radzi Kamarul Hailan.

"Sementara itu di reruai pula peserta boleh mengambil bahagian untuk memperbetulkan bacaan al-Quran, belajar bertaranum serta belajar bahasa Arab.

"Selain itu kita ada pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata dan juga jualan amal," katanya.

Beliau mengalu-alukan kehadiran peserta untuk bersama-sama mendalami al-Quran seterusnya membawa masyarakat Islam seluruhnya kembali kepada kitab suci ini dalam apa juga urusan kehidupan dunia dan akhirat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!