JPJ siasat kemalangan treler kontena terbalik hempap kereta
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan siasatan terhadap syarikat yang mengendalikan sebuah treler membawa kontena yang menghempap beberapa kenderaan di Pulau Pinang pada Rabu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, siasatan tersebut dijalankan bagi mengesan sama ada syarikat terbabit mematuhi atau tidak aspek teknikal ditetapkan dalam Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA).
Menurutnya, siasatan sudah dijalankan oleh pihak JPJ Pulau Pinang sebaik kemalangan itu berlaku dan laporan akan diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam masa terdekat.
“Kita ada siasatan audit JISA yang kita laksanakan bagi kenderaan-kenderaan perdagangan yang mengalami kemalangan maka APAD akan meminta JPJ mengeluarkan siasatan.
“Siasatan JISA memang di bawah tanggungjawab JPJ untuk kita kenal pasti adakah kenderaan atau syarikat itu mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan apabila permit dikeluarkan kepada mereka.
“Hasil siasatan itu akan diserahkan kepada APAD untuk mengambil tindakan selanjutnya dan pada masa sama, polis pun buat siasatan berdasarkan kemalangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini pada Khamis.
Sementara itu, Aedy Fadly berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak pengendali lebuh raya dan jalan raya bagi mengatasi keberadaan kenderaan berat yang memasuki lebuh raya pada waktu puncak.
"Kita sentiasa berbincang dengan pihak-pihak berkenaan dalam usaha memastikan kenderaan-kenderaan berat tidak memasuki pada waktu-waktu puncak," ujarnya.
Dalam kejadian pada pagi Rabu, seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera apabila kereta dipandu dihempap kontena yang dibawa sebuah treler di Jalan Bukit Tengah di Bukit Mertajam.
Kejadian itu melibatkan empat buah kenderaan lain iaitu Perodua Bezza, Toyota Altis, Honda Jazz dan lori 3 tan.
Sebelum itu, tular beberapa klip video berkenaan kejadian tersebut yang memaparkan sebuah treler yang membawa kontena terbabas lalu menghempap beberapa buah kenderaan di laluan bertentangan.
Difahamkan, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat di lokasi berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!