Wanita hamil, anak 4 tahun hilang selepas keluar beli makanan
KUANTAN - Seorang wanita hamil lapan bulan bersama anak lelaki empat tahun dilaporkan hilang selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan, pada Rabu.
Kakak mangsa, Adlin Mohd Zakaria, 36, berkata, adiknya, Nur Nadia Mohd Zakaria, 29, kali terakhir dikatakan meninggalkan rumah dengan memandu Perodua Axia berwarna biru gelap bernombor pendaftaran CBW 1202, pada jam 12 tengah hari, namun tidak pulang ke rumah di Kampung Chendering sehingga lewat petang itu.
"Kami mula risau apabila adik (Nur Nadia) dan anaknya tidak pulang pada jam 5 petang seperti biasa, selalu adik tidak lama kalau pergi ke kedai dan semalam (Rabu) dia hanya hendak ke kedai sahaja tidak ke mana-mana.
"Adik pula keluar tanpa bawa telefon, jadi kami ahli keluarga, termasuk suami adik, telah mencari di kawasan sekitar dan rumah saudara mara tapi tidak jumpa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Anak kedua daripada enam beradik itu memberitahu, tiada sebarang kelakuan ganjil dipamerkan oleh adiknya sebelum kejadian itu.
"Saya nampak adik biasa sahaja," katanya yang sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 8 malam pada Rabu.
Adlin memaklumkan usaha mencari Nur Nadia masih diteruskan, namun masih tidak menemui sebarang petunjuk.
"Kami mohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat mereka diminta menghubungi Adlin di talian 017-9808542," katanya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan dua beranak itu.
"Berdasarkan laporan, Nur Nadia dikatakan keluar rumah dengan memandu Perodua Axia berwarna biru gelap membawa anaknya, Aydan Noah Mohd Shahmi, bersama," katanya.
Difahamkan Nur Nadia mempunyai sejarah penyakit anxiety.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!