Mujahid kenang kembali jasa Tun Daim pulih Tabung Haji
SHAH ALAM - Pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin turut memberikan kesan mendalam kepada Datuk Seri Mujahid Yusof.
Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) berkata, Tun Daim mempunyai jasa yang besar terhadap pemulihan Tabung Haji (TH) yang ketika itu mengalami defisit RM 4 bilion dan terus ‘membengkak’ kepada RM10 bilion pada penghujung 2018.
Menurutnya, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pasca pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) telah dibentuk pada Mei 2018.
“Salah satu misi besar CEP adalah memulihkan Tabung Haji. Tun Daim dilantik sebagai Pengerusi CEP dan Timbalannya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan lain-lain pakar yang terkenal.
“Antara dapatan awal Majlis Penasihat ini adalah terdapatnya kelakuan salah tadbir dan pembelian dana penjualan saham yang meragukan sehingga TH mengalami kerugian.
"Ini termasuk isu tatakelola yang culas dan tidak menepati piawaian perakaunan,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Khamis.
Tambah Mujahid, jawatankuasa berkenaan kemudiannya melantik Tan Sri Md Nor Yusof sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Zukri Samat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH yang baharu.
Pada ketika itu jelasnya, beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan misi pemulihan kemudian diserahkan kepadanya yang bertanggungjawab untuk dilaksanakan.
“Jasa Tun Daim sebagai Pengerusi Penasihat Kerajaan PH 1.0 terkhusus melihat pemulihan Tabung Haji akan dikenang selamanya.
“Bermula dari sinilah kerangka penstrukturan semula TH digerakkan dari 2018 hingga 2020. Alhamdulillah, sehingga kini TH berada pada landasannya yang tepat untuk memacu cabaran mendatang,” katanya.
Tun Daim yang juga tokoh politik dan ahli perniagaan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya pada pagi Rabu di usia 86 tahun.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali iaitu dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Tun Daim memainkan peranan besar dalam membantu Malaysia mencapai pembangunan pesat dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang fokus kepada pengindustrian dan eksport.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!