Polis siasat anggota guna kenderaan pasukan untuk kegunaan peribadi
SEREMBAN - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah mengenal pasti anggotanya yang didakwa menggunakan kenderaan pasukan untuk kegunaan peribadi seperti tular di laman sosial, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya mengesan video tular itu kira-kira jam 4 petang di media sosial.
"Video itu memaparkan anggota polis tersebut menggunakan kenderaan pasukan untuk kegunaan peribadi di Jalan Camar 1, Seremban.
"Anggota polis terlibat telah dikenal pasti dan siasatan dalaman di bawah peraturan tatatertib turut dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook IPD Seremban.
Katanya, pihaknya tidak berkompromi terhadap salah laku anggotanya yang melakukan kesalahan melanggar etika dan disiplin dalam tugas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!