Tiga termasuk wanita warga Vietnam berdepan hukuman mati
JOHOR BAHRU - Tiga individu termasuk seorang wanita warga Vietnam berdepan hukuman mati setelah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan Mahkamah Masjistret Kluang atas pertuduhan mengedar dadah, 3 November lalu.
Di Mahkamah Majistret Johor Bahru, tertuduh, Alvin Tham Zheng Xu, 33, mengangguk faham apabila lima pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis serbuk ekstasi dengan berat kasar 149.581 kilogram (kg), dadah jenis MDMA (6.998 kg) dan dadah jenis Nimetazepam, 3kg.
Selain itu, tertuduh juga berdepan pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat kasar, 6.11 kilogram.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Utama 37 Taman Mutiara Rini, Skudai sekitar jam 9.45 malam, 3 November lalu.
Di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh yang juga merupakan seorang peniaga turut didakwa mengedar dadah jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 100 gram pada tarikh sama di Taman Sutera Utama, Skudai.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 1980), Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) Akta yang sama.
Tertuduh kemudiannya mengangguk faham di hadapan Majistret A Shaarmini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi kesemua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif dan Afiqah Musa.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 15 Januari dan 3 Februari tahun hadapan bagi sebutan semula kes berkenaan termasuk serahan dokumen dan laporan kimia.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kluang, seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Vietnam dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya pada 3 November lalu.
Mengikut pertuduhan, kedua-kedua tertuduh didapat bersama-sama mengedar dadah jenis MDMA dengan anggara berat kasar, 1.47kg di Taman Tasik Indah, Kluang.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara FAzilun Izylin Ahmad.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 26 November untuk pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Vietnam dan 9 Januari 2025 bagi sebutan semula kes termasuk serahan dokumen dan laporan kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!