Ibu hamil 8 bulan, anak hilang di Kuantan ditemui di KLIA
KUANTAN - Seorang wanita hamil lapan bulan dan anak lelakinya yang berusia empat tahun, yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan, pada Rabu ditemui selamat oleh pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
Kakaknya, Adlin Mohd Zakaria, 36, melahirkan rasa bersyukur adiknya, Nur Nadia Mohd Zakaria, 29, dan anak saudaranya, Aydan Noah Mohd Shahmi ditemukan dalam keadaan selamat.
"Alhamdulillah, adik dan anak selamat dijumpai. Terima kasih banyak kepada pihak polis dan semua yang telah membantu," katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada Khamis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kehilangan wanita terbabit bersama anaknya selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan pada Rabu.
Nur Nadia kali terakhir meninggalkan rumah dengan memandu Perodua Axia berwarna biru gelap pada jam 12 tengah hari, namun tidak pulang ke rumah di Kampung Chendering sehingga lewat petang itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan mengesahkan dua beranak itu telah dijumpai di KLIA oleh pihak polis pada kira-kira jam 2 petang.
"Wanita itu bersama anak lelaki dalam keadaan selamat dan sekarang mereka berada di Balai Polis KLIA," katanya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!