Wanita dirogol ketika cari kerja
CAMERON HIGHLANDS - Hasrat seorang wanita warga Myanmar mendapatkan pekerjaan bertukar detik hitam apabila dirogol di sebuah bilik hotel di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, mangsa berusia 20 tahun itu membuat laporan polis kira-kira jam 11.29 malam.
Menurutnya, hasil siasatan awal, mangsa telah berjumpa suspek iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun dan telah dibawa ke dalam bilik sebelum dipaksa untuk melakukan hubungan seks tanpa kerelaan sehingga mengalami trauma.
Menurutnya, selepas kejadian tersebut, suspek telah meninggalkan mangsa di dalam bilik terbabit.
"Mangsa kemudiannya hadir ke Balai Polis Brinchang untuk membuat laporan dan dirujuk ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
"Bertindak atas maklumat, suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan," katanya pada Khamis.
Ujarnya, hasil semakan suspek memiliki tiga rekod lampau berkaitan jenayah.
Jelas Azri, hasil pemeriksaan, turut ditemui alat mainan seks yang digunakan oleh suspek.
Tambah beliau, tahanan reman terhadap suspek dikenakan selama enam hari bermula Khamis bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan merogol.
"Kita sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kertas siasatan terhadap pihak pendakwaan negeri untuk cadangan pertuduhan ke atas suspek.
"Pihak polis juga memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!