Eksekutif jualan dituduh guna dokumen palsu minyak diesel subsidi
SHAH ALAM - Seorang eksekutif jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas 12 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi pembekalan diesel bersubsidi bernilai RM257,439, pada tahun lalu.
Borhanuddin Abdul Manan, 40, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut 12 pertuduhan utama, lelaki itu didakwa sebagai ejen kepada sebuah syarikat, dengan niat hendak memperdayakan prinsipal tertuduh, iaitu dokumen ‘delivery’ tiket berjumlah RM257,439.
Ia didakwa mengandungi butir matan palsu mengenai pembekalan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak sedangkan pembekalan tersebut tidak dilakukan, di pejabat syarikat terbabit, di sini bermula April tahun lalu.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah matan palsu jika ia dapat dinilai, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dia juga mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan pilihan, menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu ‘delivery tiket’ berjumlah sama yang mana tertuduh mempercayai dokumen tersebut palsu, di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadly Mohd Zamry mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Hafiz Hood merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Disember depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!