Tauliah mengajar bukan sekat pendakwah sebar ilmu - Sanusi
ALOR SETAR - Langkah mewajibkan pengajar agama mendapatkan tauliah mengajar daripada jabatan agama Islam bukanlah untuk menghalang penyebaran ilmu kepada masyarakat sebagaimana didakwa.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan ini dilakukan bagi memastikan kuliah yang disampaikan berasaskan kepada ajaran Islam sebenar mengikut manhaj iaitu jalan yang jelas menjadi pegangan umat Islam di negeri ini.
Menurutnya, ia bagi memastikan umat Islam tidak berpecah-belah mengikut fahaman atau pegangan yang terpisah-pisah.
“Di beberapa negeri tauliah menjadi isu sensitif, malah ada aliran yang mengatakan tak perlukan tauliah sebab sudah mendalami ilmu agama.
“Namun kita hendaklah kawal pendakwah agar apa yang disampaikan sesuai dengan kita. Contohnya, tempat kita tak sesuai dengan ajaran Syiah sebab itu orang Syiah tak datang sini berdakwah (masa dulu-dulu). Mereka sesuai di wilayah Iran dan Iraq, bila pergi luar wilayah itu berlaku pembunuhan atas perbezaan mazhab tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penganugerahan tauliah mengajar agama Islam negeri Kedah 2024 di Seri Mentaloon pada Khamis.
Hadir sama, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Sanusi berkata, pemberian tauliah mengajar juga antara langkah memperkasakan sistem pengurusan dan ia selari dengan polisi kerajaan negeri yang mahu meningkatkan kualiti penyampaian ilmu secara berkesan dan sistematik.
“Ironinya, antara masalah yang sedang berlaku kalangan umat Islam ialah berpecah-belah disebabkan oleh fahaman politik. Dalam hal agama pun perpecahan sudah mula berlaku.
“Keutuhan umat Islam di negara ini sedang berhadapan situasi membimbangkan. Walaupun perit untuk kita akui namun jika tidak ditangani, ia mungkin akan lebih perit untuk kita hadapi pada masa akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, Sanusi berharap para pendakwah memainkan peranan membangkitkan kesedaran masyarakat untuk menjaga agama dengan sebaik-baiknya.
“Jauhi perpecahan dan bersikap bijaksana dalam mendepani masyarakat sama ada sesama Islam mahupun bukan Islam, itulah tanggungjawab kita yang paling utama dalam berdakwah.
“Berdakwah secara berhikmah biarpun berbeza pandangan dalam perkara tertentu, namun apabila menyentuh hal agama, kita harus mengutamakan perpaduan sesama umat. Kepada bukan sesama akidah, hadaplah secara bijaksana,” katanya.
Menurutnya lagi, elakkan membawa agenda politik kepartian dalam hubungan dengan masyarakat pada masa tertentu.
“Sama ada orang awam, guru takmir, pegawai kerajaan atau sesiapa sahaja, apabila menyentuh hal politik, cukuplah semasa musim pilihan raya. Kembalilah kepada agenda untuk mentadbir mengikut prinsip dan disiplin masing-masing.
“Saya sendiri memimpin parti politik tetapi apabila diberikan amanah sebagai ketua kerajaan negeri, kepentingan saya adalah untuk rakyat Kedah, bukan ahli parti. Saya tidak bawa agenda politik kepartian apabila memakai baju Menteri Besar,” jelasnya.
Sanusi turut berpesan agar pendakwah menjadikan perpaduan umat Islam sebagai agenda wajib dalam setiap kuliah disampaikan kerana ia amanah ALLAH SWT selain berpegang teguh pada ajaran-Nya dan jangan berpecah-belah.
“Ingatlah, walaupun bilangan kita ramai, musuh tidak gerun kepada kita kerana kita berpecah-belah disebabkan oleh kepentingan masing-masing.
“Jadikan tauliah mengajar sebagai platform mengukuhkan lagi pengajaran agama Islam kalangan masyarakat supaya mereka menghayati kehidupan berteraskan syariat Islam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!