Penggunaan petrol Euro 5 tidak akan beban pengguna - Nik Nazmi

Nik Nazmi (tengah) melihat replika Milla dan tempat letak kereta automatik pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Automatik Parkir Sistem antara Samjung Tech Co Ltd, Beverly Group dan Parketch Solutions Sdn Bhd di Galeri Jualan Milla, pada Khamis. Foto Bernama
Nik Nazmi (tengah) melihat replika Milla dan tempat letak kereta automatik pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Automatik Parkir Sistem antara Samjung Tech Co Ltd, Beverly Group dan Parketch Solutions Sdn Bhd di Galeri Jualan Milla, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan petrol Euro 5 yang akan mula dilaksanakan September tahun hadapan tidak akan meningkatkan harga bahan api itu, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, pelaksanaannya memerlukan pelaburan dibuat oleh syarikat minyak kerana perkara ini langkah berterusan untuk menaik taraf spesifikasi bahan api selain menjaga kualiti udara negara.

"Tetapi harga bergantung kepada sistem pada waktu itu yang kerajaan nak laksanakan iaitu penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.

"Langkah ini lebih kepada untuk pastikan kawalan pelepasan karbon serta kualiti minyak yang lebih baik ... jadi dari segi harga petrol di pasaran tidak ada kaitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Beverly Group, Samjung Tech dan Parktech Solutions di sini pada Khamis.

Beliau berkata, usaha untuk meningkatkan kualiti bahan api merupakan langkah berterusan seperti yang telah dilaksanakan bagi diesel Euro 5.

Semalam, Nik Nazmi memaklumkan Malaysia akan mula melaksanakan penggunaan petrol Euro 5 pada September 2025 dan dijangka mencapai spesifikasi penuh pada 2027 sebagai langkah penyelesaian jangka panjang dalam menjaga kualiti udara negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, negara tidak boleh menolak penggunaan unsur nadir bumi jika melibatkan penggunaan kenderaan elektrik termasuk tenaga boleh baharu namun pengurusan bahan itu harus dilaksanakan secara teliti dan berhati-hati.

"Kalau kita lihat setakat ini nadir bumi yang ada di negara kita tidak ada elemen radioaktif ... yang didebatkan dahulu soal Lynas adalah dari Australia itu pun ia dikawal menerusi perlesenan yang dikeluarkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Artikel Berkaitan:

"Namun, bercakap mengenai peralihan menggunakan kenderaan elektrik, penggunaan tenaga boleh baharu memang kita perlukan nadir bumi namun saya setuju penggunaannya perlu diimbangi dan dikawal ketat, itu syaratnya tetapi kalau kita nak katakan kita tidak mahu guna langsung sebab ada beberapa kesan sampingan itu saya tidak setuju,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!