Aduan kes buli ditangani mengikut SOP, garis panduan ditetapkan - Fadhlina

Fadhlina bersama pelajar pada program Hentikan Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Yuk Likas Kota Kinabalu, pada Khamis. Foto Bernama
Fadhlina bersama pelajar pada program Hentikan Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Yuk Likas Kota Kinabalu, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan (KPM) menangani setiap aduan melibatkan kes buli di sekolah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kementerian itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek yakin melalui pendekatan itu, kes buli akan dapat ditangani dengan lebih berkesan khususnya apabila turut melibatkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan komuniti.

Beliau berkata, KPM juga memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan proses SOP sedia ada menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih lanjut.

"Aduan buli ini kita tangani mengikut SOP dan kebanyakan selesai dalam tempoh yang ditetapkan, ini yang kita mahu iaitu aduan tersebut sampai kepada pihak kita.

"Jadi kita boleh sertakan data, ambil tindakan intervensi serta merta dan memastikan keadilan dapat diberikan pada semua pihak. Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang tegas dalam soal buli ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Yuk di sini, pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Fadhlina berkata, KPM sentiasa turun padang ke sekolah terpilih untuk melaksanakan advokasi berkaitan hentikan buli yang turut memerlukan komitmen daripada semua pihak.

Beliau berkata, melalui pendekatan itu perbincangan dengan ketua pelajar dan pengawas dapat dijalankan bagi memahami isu yang terdapat di sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Penegasan telah KPM beri berulang kali dan saya bagi penegasan sekali lagi bahawa tidak ada dan tidak boleh menyembunyikan kes berkaitan dengan buli ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!