Polis bongkar aktiviti seleweng minyak diesel bersubsidi

Antara barang yang dirampas dalam operasi berkenaan.
Antara barang yang dirampas dalam operasi berkenaan.
A
A
A

KULAI - Polis berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sekitar kawasan Seelong, Senai di sini dalam satu operasi di kawasan berkenaan pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee, polis turut merampas beberapa barangan seperti tangki minyak, pam minyak serta dua kenderaan pacuan empat roda yang keseluruhannya bernilai RM296,880.

“Sekitar jam 8 malam, Rabu lalu, sepasukan Polis Marin dari unit risik Marin (URM) Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor bertindak atas maklumat berkaitan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di kawasan Seelong, Senai.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh, kita telah menemui sejumlah minyak diesel dalam 26 tangki, satu pam flow meter, satu pam minyak dan dua kenderaan pacuan empat roda yang masing-masing telah diubah suai dengan mempunyai satu tangki besi serta satu tangki fiber.

“Selain barang rampasan tersebut, polis turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 23 dan 32 tahun kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Seng Lee berkata, kedua-dua pacuan empat roda itu masing-masing bernilai RM85,000 selain 27,200 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM78,880.

Katanya, turut dirampas, 26 tangki empat segi bernilai RM39,000, satu pam flow meter (RM6,000) dan satu pam minyak yang bernilai RM3,000.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda mengikut Seksyen 21 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!