Pengarah direman kes kuota pekerja asing RM1.1 juta
SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat wanita ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen palsu permohonan kuota pekerja asing mencecah RM1.1 juta.
Majistret, Wan Noora Nisa Ngadirin memerintahkan suspek wanita berusia 40-an itu direman sehingga Isnin minggu depan selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Menurut sumber, suspek ditahan pada jam jam 5 petang Rabu ketika hadir memberi keterangan di SPRM negeri.
“Dia disiasat bagi kes subahat mengemukakan dua permohonan kuota seramai 600 pekerja asing, sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan syarikat itu pada tahun lalu, tidak wujud.
“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi mencecah RM 1.1 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!