Dua juta pekerja disasar sertai kesatuan sekerja - Steven Sim

Steven berucap pada Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di PICC pada Khamis. Foto Bernama
Steven berucap pada Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di PICC pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyasarkan jumlah pekerja yang menganggotai kesatuan sekerja di seluruh negara meningkat kepada dua juta orang, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Steven berkata, setakat September lepas, bilangan kesatuan sekerja di Malaysia telah mencapai 759 dengan keanggotaan seramai 1,030,151 orang.

Beliau berkata, sasaran berkenaan adalah selaras Akta Kesatuan Sekerja 1959 Pindaan 2024 yang telah berkuat kuasa mulai 15 September lepas yang antaranya memperkasakan lagi kesatuan sekerja di Malaysia.

"Sekarang kita ada satu juta ahli kesatuan sekerja, kalau boleh kita tambah sehingga dua juta ahli.

"Ini kerana saya melihat kesatuan ini sebagai satu wardah perjuangan pekerja dan adanya kesatuan, kita kuat,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, penguatkuasaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 Pindaan 2024 juga membolehkan kekangan-kekangan dalam penubuhan kesatuan sekerja dikurangkan.

Steven (tengah) menyerahkan Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia Tahun 2024 kepada Mohamed Shafie (tiga, kanan). Foto Bernama
Steven (tengah) menyerahkan Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia Tahun 2024 kepada Mohamed Shafie (tiga, kanan). Foto Bernama

"Kita nak berikan hak kepada pekerja untuk terlibat lebih aktif dalam kesatuan demi memberi kuasa yang lebih besar kepada kaum pekerja di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig, Sim berkata beliau sedang berusaha untuk membentangkan RUU berkenaan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini bagi melindungi kumpulan itu.

"Kita tengah berusaha untuk membawa RUU yang baharu iaitu RUU Pekerja Gig yang akan membela nasib rakan-rakan kita pekerja gig yang sudah lama terkapai-kapai di luar akta kerja.

"Mereka tidak dilindungi di bawah akta kerja tetapi mereka juga pekerja,” katanya.

Pada majlis itu, Steven turut menyampaikan anugerah kepada lima penerima Anugerah Kesatuan Sekerja 2024 antaranya Presiden Uni Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal yang menerima Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia.

Turut menerima anugerah adalah Prof Madya Dr Abd Rahman Tamuri daripada Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia (PKAUTM) bagi kategori Anugerah Tokoh Kesatuan Sekerja. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!