Pantau gaya hidup anggota keselamatan elak terlibat rasuah
SHAH ALAM - Jabatan integriti setiap agensi perlu melaksanakan pemantauan dengan lebih kerap berkaitan gaya hidup penguat kuasa dan anggota keselamatan negara.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, tindakan itu berupaya untuk mencegah rasuah daripada terus berlaku.
“Kita semua sedia maklum, rasuah yang berlaku adalah akibat daripada sikap dan kerendahan nilai integriti.
“Mereka ini tidak mempunyai rasa tanggungjawab kepada tanah air terutamanya ketika bertugas menjaga keselamatan di sempadan atau pintu masuk negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar atas lima pertuduhan rasuah berjumlah RM2,300 dua tahun lalu.
Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhamad Abdul Hadi Abdullah, 35, mengaku bersalah atas semua pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Dalam pada itu, Nor Halmey berkata, kes rasuah yang melibatkan Maritim Malaysia sering dikaitkan dengan penyeludupan barang bersubsidi ke luar negara dan perkara berkenaan adalah kesalahan besar kerana menjual hak rakyat secara haram untuk kepentingan peribadi.
Tambah beliau, isu rasuah seperti kes tersebut bukan kali pertama sebaliknya sudah pernah berlaku dalam negara.
“Cuma sekarang ini rakyat perlu fikir positif bahawa banyaknya tangkapan itu bermaksud Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan agresif.
“Tidak semestinya banyak tangkapan bermaksud negara kita teruk. Ada lagi negara yang lebih teruk berbanding Malaysia.
“Atas sebab itulah kita dijadikan contoh negara luar seperti yang berlaku atas pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Presiden Assembly of Parties (AoP) Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) baru-baru ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!