Polis tinjau lokasi kes mayat wanita dalam peti sejuk beku

Sepasukan pegawai dari IPD Brickfields melaksanakan tinjauan di lokasi kejadian kes bunuh di Taman OUG, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sepasukan pegawai dari IPD Brickfields melaksanakan tinjauan di lokasi kejadian kes bunuh di Taman OUG, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis meninjau semula lokasi kejadian kes bunuh seorang wanita dipercayai dilakukan anaknya di sebuah rumah di Taman OUG di sini pada Khamis.

Tinjauan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, tinjauan itu merupakan prosedur biasa dalam siasatan kes bunuh.

"Polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes untuk tampil membantu siasatan.

"Kita juga meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi untuk menjaga maruah keluarga mangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang wanita berusia lingkungan 80-an yang dipercayai 'disimpan' dalam peti sejuk beku selepas dibunuh pada Mac 2021.

Kejadian itu dikatakan terbongkar pada Selasa lalu selepas suspek disyaki anak mangsa membuat panggilan kecemasan selepas dirinya menghadapi masalah kesihatan kronik.

Berikutan itu, polis menahan anak lelaki mangsa berusia 53 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!