Pekerja kuari maut dihempap batu
MANJUNG - Sebuah kuari di sini diarah menghentikan kerja operasi serta-merta susulan insiden seorang pekerja lelaki maut dihempap batu pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 4.45 petang itu, mangsa warga tempatan berusia 35 tahun dan bekerja sebagai operator mesin korek meninggal dunia di tempat kejadian.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku semasa mangsa sedang bekerja mengendalikan mesin jentera itu di muka kuari.
"Semasa kejadian rakan kerja mangsa turut berada di lokasi mengendalikan jengkaut.
"Mangsa dihempap batu kuari yang jatuh dari cerun sebelahan tempat mangsa sedang bekerja," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Kenyataan sama memberitahu, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kuari tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
Katanya, JKKP juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan melakukan langkah penambahbaikan.
"Siasatan lanjut akan dijalankan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan saksi.
"Tindakan perundangan juga akan dikenakan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!