Harimau Malaya tundukkan Laos 3-1

Para pemain Harimau Malaya meraikan jaringan Harith Haiqal dalam perlawanan menentang Laos. Foto FAM
Para pemain Harimau Malaya meraikan jaringan Harith Haiqal dalam perlawanan menentang Laos. Foto FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya berjaya melakar kemenangan ke atas Laos 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, pada Khamis.

Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat terutama pada awal separuh masa pertama menyebabkan padang Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok ditakungi air menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, skuad negara berjaya membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar selepas menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil Nooa Hamzah Laine pada minit keenam.

Laos yang sebelum itu diasak hebat memanfaatkan kesilapan pertahanan Harimau Malaya untuk menyamakan kedudukan melalui gol Kydavone Souvanny pada minit ke-33.

Pasukan yang berada di ranking ke-187 dunia itu hampir menambah gol kedua menerusi percubaan kapten, Bounpachan Bounkong pada minit ke-42 yang tersasar melewati palang gol dikawal Ahmad Syihan Hazmi.

Malaysia juga berpeluang untuk kembali mendahului pada masa kecederaan separuh masa pertama, namun sentuhan Syafiq Ahmad di depan gol lawan tidak berjaya menemui sasaran.

Separuh masa kedua menyaksikan keadaan padang bertambah baik selepas hujan berhenti membolehkan skuad kendalian Pau Marti Vicente itu kembali memperagakan permainan lebih tersusun.

Skuad negara dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-63 selepas pemain gantian, Stuart Wilkin dikasari oleh Sengdaovy Hanthavong dalam kotak penalti.

Artikel Berkaitan:

Wilkin yang diberikan tanggungjawab mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Laos, Keo Oudone Souvannasangso untuk meletakkan Malaysia di hadapan.

Tambahan gol untuk pasukan negara terhasil sekali lagi melalui sepakan penalti selepas pemain gantian, Sergio Aguero dikasari dan dia tidak berdepan masalah untuk memastikan gawang Laos bocor buat kali ketiga pada minit ke-83.

Selepas ini, Harimau Malaya yang berada di ranking ke-133 dunia akan terbang ke Hyderabad untuk perlawanan persahabatan kedua menentang India yang berada pada ranking lebih baik iaitu ke-125 pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!