Berjaya Times Square Hotel, RnR Machap dinobat antara tandas terbersih 2024

Pemenang TOTYA'24 kategori hotel dimenangi Berjaya Times Square Hotel Kuala Lumpur.
Pemenang TOTYA'24 kategori hotel dimenangi Berjaya Times Square Hotel Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh kategori tandas bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) memenangi Anugerah ‘Toilet of The Year’ (TOTYA’24) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kategori hotel dimenangi oleh Berjaya Times Square Hotel KL; kawasan rehat dan rawat (RnR), Machap Arah Utara; stesen minyak (BHPetrol Ladang Bikam, Perak); restoran (Andaman Seafood Village KL); pihak berkuasa tempatan (Tandas Awam MITC Melaka); kompleks beli belah, Sunway Carnival Mall Pulau Pinang dan sekolah (SMK Merbau, Sarawak).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kebersihan tandas awam bukan sahaja penting bagi memberikan keselesaan kepada rakyat, malah ia mampu meningkatkan imej negara sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pemenang TOTYA'24 kategori pusat beli belah, Sunway Carnival Mall Pulau Pinang.
Pemenang TOTYA'24 kategori pusat beli belah, Sunway Carnival Mall Pulau Pinang.

Menurut beliau, kerajaan juga menyasarkan ketibaan seramai 35,000 pelancong ke Malaysia untuk menghasilkan RM147 bilion sekali gus merancakkan ekonomi negara.

“Bagi KPKT, kebersihan tandas kini menjadi satu kewajipan. Kerajaan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta menerusi Belanjawan 2024 untuk menyelenggara lebih 1,000 tandas awam di bawah seliaan PBT setiap negeri.

“Selain itu, dengan kerjasama semua kementerian khususnya penyumbang terbesar iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kerajaan Madani berjaya menaik taraf 11,397 tandas awam. Rekod tertinggi dalam sejarah!

“Bukan itu sahaja, konsesi lebuh raya turut melabur RM18 juta untuk menaik taraf 34 tandas di RnR seluruh negara,” katanya ketika merasmikan TOTYA'24 di Sheraton Imperial, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pemenang setiap kategori membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta piala iringan dan sijil penghargaan.

Kor Ming ketika berucap di majlis TOTYA'24 di sini pada Khamis.
Kor Ming ketika berucap di majlis TOTYA'24 di sini pada Khamis.

Acara tersebut menerima 625 penyertaan dari seluruh negara berbanding hanya 345 tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 82 peratus.

Kor Ming memaklumkan, penganjuran anugerah kali ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana pemenang hanya dihadiahkan RM10,000, malah rata-rata memperlekehkan usaha kementerian dalam mengangkat agenda kebersihan tandas awam dan memartabatkan negara.

Justeru kata beliau, Jemaah Menteri pada minggu lalu memutuskan penganjuran TOTYA diangkat sebagai acara rasmi tahunan Kerajaan Madani.

Jelasnya, dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, TOTYA diyakini mampu meraih populariti serta lebih dikenali selepas ini.


SMK Merbau, Miri, Sarawak memenangi kategori sekolah dan membawa pulang RM20,000 berserta piala iringan dan sijil penghargaan. Foto UKK KPKT
SMK Merbau, Miri, Sarawak memenangi kategori sekolah dan membawa pulang RM20,000 berserta piala iringan dan sijil penghargaan. Foto UKK KPKT

“Mulai tahun depan, peruntukan RM4 juta disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bina dua tandas BMW-Intelligent di Jalan Alor dan Jalan Petaling.

“Selain itu, Perbadanan Putrajaya akan diberi peruntukan bina dua tandas BMW-Intelligent di Dataran Masjid Putrajaya dan Anjung Mall.

“Akhir sekali, saya mengumumkan bahawa tahun depan TOTYA akan menambah satu lagi kategori iaitu masjid atau rumah ibadat,” ujar Kor Ming.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!