Jangan tutup peluang anak cemerlang ke MRSM

Mara telah menetapkan syarat baharu untuk kemasukan pelajar ke MRSM iaitu anak-anak kepada ibu bapa yang disenarai hitam oleh agensi berkenaan tidak dibenarkan mendaftar sebagai pelajar.
Mara telah menetapkan syarat baharu untuk kemasukan pelajar ke MRSM iaitu anak-anak kepada ibu bapa yang disenarai hitam oleh agensi berkenaan tidak dibenarkan mendaftar sebagai pelajar.
A
A
A

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) telah menetapkan syarat baharu untuk kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu anak-anak kepada ibu bapa yang disenarai hitam oleh agensi berkenaan tidak dibenarkan mendaftar sebagai pelajar.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pada Rabu menjelaskan bahawa tindakan tersebut hanyalah bersifat sementara sehingga ibu bapa menyelesaikan tunggakan hutang mereka dengan Mara.

Secara ringkasnya, walaupun pelajar berkenaan cemerlang dalam pelajaran dan ramai yang belajar bersungguh-sungguh untuk merebut tempat di sekolah berasrama penuh itu, namun jika ibu bapa gagal melunaskan hutang dengan agensi berkenaan, maka tertutuplah peluang buat anak cemerlang itu.

Langkah tersebut ternyata mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat terutama golongan ibu bapa kerana syarat tersebut dilihat seolah-olah menyekat hak anak yang cemerlang pendidikan untuk meneruskan pelajaran di MRSM.

Ada yang menganggap langkah itu tidak adil kerana anak menjadi mangsa keadaan disebabkan ibu atau bapa mereka termasuk dalam senarai hitam kewangan.

Namun bagi pihak Mara pula, syarat tersebut dikenakan demi menjaga kepentingan semua pihak, sama ada dari sudut pelajar mahupun kestabilan dana pendidikan Mara untuk generasi seterusnya.

Yang penting, jika sudah menjadi peminjam, bayarlah semula pinjaman mengikut perjanjian dalam masa yang ditetapkan. Janganlah kerana kita yang berhutang, anak-anak menjadi ‘korban’.

Jika jadi penjamin pula, perlulah bertegas meminta peminjam membayar mengikut jadual atau lebih baik jangan menjadi penjamin. Memang susah jika yang mahu dijamin itu kaum keluarga atau sanak saudara tetapi fikirkan akibatnya untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

Dengan syarat baharu itu, diharap peminjam dapat melaksanakan tanggungjawab pembayaran dengan baik agar tidak mengganggu peluang pendidikan anak-anak di MRSM.

Ibu bapa harus mengambil tanggungjawab penuh untuk masa depan anak-anak. Jika culas membayar hutang pinjaman Mara, mereka harus sedar kesannya juga kepada pendidikan anak-anak.

Ingat! Hutang wajib dibayar. Bebas hutang adalah perkara yang paling melapangkan dada dan fikiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!