Budaya beri arahan sekat peluang bakat baharu
SHAH ALAM - Budaya memberi arahan untuk diikuti anggota parti dalam pemilihan akan menghalang dan menyekat bakat baharu yang ingin membuktikan kemampuan diri dalam pemilihan bebas.
Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol berkata, amalan itu juga dilihat sebagai pemerintahan mutlak yang digemari oleh golongan pimpinan tertentu sahaja.
Katanya, tidak dinafikan PKR mengalami episod pemilihan parti yang kecoh sewaktu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin, masih berada dalam PKR sebelum ini.
“Namun sehingga kini parti ini masih kukuh selepas pembersihan dan pemutihan ahli dilakukan. Malah lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan,” katanya ketika mengulas mengenai kenyataan Afif pada Khamis.
Afif yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Rabu menyifatkan pemilihan Bersatu diselesaikan dengan lancar termasuk mengawal persaingan dalaman adalah hasil kebolehan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding PKR.
Walaupun wujud dakwaan berlaku pertembungan antara kem, Afif berkata, perkara itu hanyalah spekulasi, dan akhirnya keputusan perwakilan menzahirkan pilihan seperti yang disaran pucuk pimpinan tertinggi.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, amalan pemilihan PKR melalui kaedah satu ahli satu undi juga dianggap pemilihan parti yang paling demokrasi selain ahli berpeluang memilih pimpinan atasan dan masa depan parti.
“Parti juga tidak akan campur tangan dalam pemilihan supaya ia boleh dilaksanakan dengan adil dan saksama,” ujarnya.
Bahkan jelasnya, sesiapa sahaja yang berminat untuk menawarkan diri boleh sahaja bertanding.
“Cara ini membuka ruang kepada lebih ramai bakat muda dicungkil untuk diangkat sebagai pemimpin oleh anggota parti.
“Misalnya, kebanyakan pimpinan atasan PKR sekarang terdiri daripada golongan muda profesional. Mereka ini juga yang akan diangkat sebagai menteri oleh Presiden parti kelak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!