Kenapa obsesi sangat dengan gaya old money?
BARU-baru ini heboh di media sosial mengenai old money, merujuk kepada cara berpakaian untuk memberitahu bahawa anda mewarisi kekayaan turun-temurun milik keluarga.
Ia jadi trending apabila seorang pempengaruh memuat naik satu video di laman sosialnya yang memaparkan dirinya dan beberapa individu lain menggayakan penampilan old money.
Bukan setakat itu sahaja, dia turut menubuhkan Komuniti Old Money dan katanya, komuniti eksklusif itu telah meraih 300 pendaftaran dalam masa seminggu.
Tak semena-mena orang bercakap mengenai old money. Merak Jalanan yang sebelum ini tak ambil pusing dengan kewujudan old money turut sama terjebak mencari maklumat mengenainya. Merak Jalanan hanya tahu old money collector.
Jadi, secara ringkasnya konsep old money merujuk kepada kekayaan diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi atau keluarga yang memang kaya raya makan tak habis tujuh keturunan. Ia juga adalah gaya hidup, ada ‘aura’, mewah dan penuh kelas, bukan fesyen semata-mata.
Golongan old money biasanya low profile. Mereka tak menunjuk-nunjuk, nampak biasa-biasa sahaja dan tidak kisah dengan perhatian sebab fokus mereka lebih kepada menjaga nama keluarga, warisan serta pendidikan.
Mereka ada aura tersendiri walaupun tak menampakkan kemewahan. Lepak pun di kelab-kelab tertentu atau acara tertentu, bukan bergentayangan mendabik dada memakai pakaian tak kena gaya di bawah terik matahari di Dataran Merdeka seperti dilakukan pempengaruh berkenaan bersama rakan-rakannya.
Bagi Merak Jalanan, tak salah mengambil inspirasi old money tapi kenalah dengan usaha, bukan acah-acah berlagak kaya sahaja. Ia bukanlah sekadar penampilan dan gaya fesyen. Ia merujuk kepada perwatakan, personaliti dan gaya hidup sebuah golongan elit yang bukan senang untuk dicapai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!