Kejar akhirat, dunia akan mengikut
Tidak abaikan kewajipan ALLAH walau diri sibuk cari rezeki, urusan hidup
ADAKALANYA kesibukan dalam mencari rezeki dan mengurus rutin seharian membuatkan kita hanyut dibuai pesona dunia hingga terlupa kepada ALLAH SWT.
Hakikatnya, semua itu adalah kurniaan daripada MAHA ESA dan tidak boleh sesekali kita sebagai hamba-NYA mengabaikan kewajipan kepada Tuhan.
Peringatan itu ada dijelaskan menerusi surah al-Jumu’ah yang antara lain menyeru manusia menunaikan kewajipan solat walaupun sibuk mencari rezeki dan urusan dunia tidak pernah habis.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu’ah: 9)
Tiada panggilan lebih penting selain menyahut seruan Ilahi itu bagi menyempurnakan kewajipan kita.
Apakah perkaitan antara menunaikan solat dengan kurniaan ALLAH SWT? Benarkah apabila kita mengejar akhirat, dunia akan mengikut sama?
Tinggalkan urusan dunia
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Ulama Al-Juwaini, Ustaz Ahmad Syamil Esa menjelaskan, ada sebab mengapa ALLAH mengakhiri suruhan untuk pergi menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan jual beli dengan menyatakan ‘itu yang terbaik bagi kamu’.
“Hakikatnya, kalaulah kita mengetahui (bahawa tidak terkiranya) nilai akhirat yang kamu dapat dengan usaha untuk pergi solat Jumaat itu, kita pasti akan buat persiapan serapi mungkin kerana besar nilai rahmat ALLAH SWT yang turun pada hari Jumaat.
“Ketahuilah, kemuliaan hari Jumaat itu menguasai segala keuntungan atau imbalan-imbalan duniawi yang dilihat secara zahir,” katanya ketika menjadi panel dalam program Siri 11 Sinar Al-Jumu’ah Khas 2024 bertajuk ‘Kejar akhirat, dunia ikut’ baru-baru ini.
Program terbitan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu dikendalikan Ketua Pegawai Penyelidiknya, Ustaz Fazrul Ismail dan turut menampilkan pakar kewangan, Shamsuddin Kadir sebagai panel, selain qari, Ustaz Abdul Khair Jalil.
Seperkara lagi, pendakwah itu menjelaskan, maksud ‘jual beli’ pada ayat di atas bukan sekadar merujuk kepada urus niaga sahaja, tetapi juga melibatkan segala perkara yang menyibukkan diri daripada kewajipan solat.
Usai mendirikan solat Jumaat sebagaimana dinyatakan pada ayat tadi, jelas Ustaz Ahmad Syamil, ALLAH menyuruh hamba-NYA bertebaran di muka bumi bagi menjalankan urusan masing-masing dan mencari kurniaan-NYA pada bait-bait kalamullah berikutnya.
“Ayat itu dan ayat ke-132 dalam surah Taha memberikan konotasi bahawa ketika berjual beli, kena ada ‘rehat’ sekejap untuk ke masjid bagi memperbaharui keazaman Tauhid dan hubungan dengan ALLAH.
“Kebersamaan umat Islam dalam solat Jumaat, mendengar khutbah dan sebagainya, kemudian pergi semula (kembali kepada urusan hidup) seolah-olah ia satu bekalan yang mana akhirnya kita keluar semula dalam keadaan dosa sudah dibersihkan,” terangnya sambil menjelaskan ia termasuk juga untuk solat fardu yang lain.
Betulkan hala tuju
Melihat pernyataan itu, ujar beliau, jelaslah bahawa ALLAH SWT mengajar hamba-NYA memulakan pencarian rezeki dengan solat bagi memperbetul hala tuju.
Solat itu ibarat ‘pengawal’ buat diri yang sedang mencari rezeki dengan cara yang diredai oleh ALLAH SWT dan menikmati kurniaan-NYA, ungkapnya.
“Apabila kita memulakan kehidupan atau pencarian rezeki dengan satu hubungan yang kuat dengan ALLAH SWT, maka banyak perkara yang akan terjamin.
“Ia adalah naratif untuk menunjukkan bahawa dalam kita mencari rezeki ALLAH ini, kita perlu mencari Tuhan, bukannnya makhluk-makhluk-NYA, kemudian Sang Pencipta akan mudahkan segala urusan kita di dunia,” hurainya.
Kepada mereka yang masuk ke pasar atau platform jual beli, Ustaz Ahmad Syamil mengajarkan sepotong doa agar berhati-hati berbelanja dan tidak lupa diri.
Doa yang dimaksudkan ialah La ilaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamd, yuhyi wa yumit, wa huwa ‘ala kulli syai’in qadir (Tidak ada Tuhan selain ALLAH, tidak ada sekutu bagi-NYA, milik-NYA segala kekuasaan dan bagi-NYA segala pujian. DIA MAHA KUASA atas segala sesuatu).
“Apa yang kita hendak beli adalah rezeki daripada ALLAH SWT. Jadi kita betulkan asas masing-masing sebagai seorang Muslim iaitu tidak membazir, berlebihan, mengikut trend dan sebagainya.
“Islam tidak menghalang kita membeli atau menjadi kaya, tetapi agama itu membetulkan neraca mengapa kita mahu beli itu dan ini kerana semuanya termasuk dalam kerangka sebagai persembahan di hadapan ALLAH SWT (kelak),” ungkapnya.
Menjawab satu soalan, beliau berkata: “Islam telah memberikan satu neraca jelas terhadap nilai dunia dan akhirat.
”Dengan adanya surah al-Jumu’ah itu, ia mengembalikan kita untuk membesarkan nilai yang sepatutnya, begitu juga sebaliknya,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!