Pemilihan MPP: 72 peratus penuntut UiTM keluar mengundi
SHAH ALAM - Sebanyak 72.27 peratus penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) keluar mengundi pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2024/2025.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, statistik itu menunjukkan peningkatan berbanding 71.51 peratus pada tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan itu menunjukkan kesedaran dan komitmen tinggi dalam kalangan penuntut UiTM terhadap perwakilan suara serta tanggungjawab kepimpinan di kampus.
"Pemilihan ini memperlihatkan semangat mahasiswa UiTM dalam memperjuangkan hak serta kepentingan komuniti kampus, di samping menjadi platform penting dalam membina dan melahirkan kepimpinan masa depan yang berwibawa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Senarai barisan kepimpinan MPP UiTM sesi 2024/2025 itu diumumkan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Mohammad Nazim Mohd Nizam di Pusat Sukan UiTM Shah Alam.
Proses pemilihan yang dilaksanakan di 34 kampus UiTM di seluruh negara itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP)
Mohd Sazili berkata, pemilihan itu berlangsung dengan jayanya, mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuhkan nilai kepimpinan serta memperkasakan peranan mahasiswa secara telus dan berintegriti.
Ujar beliau, pelaksanaan pemilihan teratur dan berintegriti itu turut selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasa suara mahasiswa dan meningkatkan penyertaan mereka dalam pengurusan aktiviti persatuan di peringkat kampus, termasuk proses pemilihan wakil pelajar.
Kata beliau, penuntut UiTM telah menunjukkan komitmen serta kebolehan tinggi dalam mengendalikan pemilihan MPP.
“Proses pemilihan ini bukan sekadar latihan kepimpinan bagi mahasiswa, tetapi juga medan bagi mereka menghadapi dan menyelesaikan cabaran secara bijaksana,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!