Lawatan Menara Condong sambil kibar Jalur Gemilang ganti himpunan esok

Himpunan Patriotik Rakyat yang dijadual diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan pada esok akan digantikan dengan lawatan sambil mengibar Jalur Gemilang. (Gambar kecil: Nurhafizul) Gambar fail
Himpunan Patriotik Rakyat yang dijadual diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan pada esok akan digantikan dengan lawatan sambil mengibar Jalur Gemilang. (Gambar kecil: Nurhafizul) Gambar fail
A
A
A

IPOH - Susulan tiada kebenaran polis, Himpunan Patriotik Rakyat yang dijadual diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan pada esok akan digantikan dengan lawatan sambil mengibar Jalur Gemilang.

Setiausaha Persatuan Cakna Rakyat Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihaknya kecewa himpunan anjuran Sekretariat Patriotik Rakyat itu tidak diberi keizinan oleh polis kerana Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) tidak membenarkannya.

Menurutnya, alasan MPTI membantah hasrat mengadakan himpunan mengibarkan bendera kerana Dataran Menara Condong tidak sesuai sebagai tempat berhimpun sesuatu yang pelik.

"Alasan ini sangat janggal kerana umum mengetahui Dataran Menara Condong sekian lama menjadi lokasi penganjuran pelbagai program yang menghimpunkan masyarakat termasuklah program himpunan perarakan Guan Gong yang panas dengan insiden kibaran bendera China.

"Perlembagaan memelihara hak kebebasan bersuara bagi semua rakyat Malaysia dan ia perlu dihormati dan dipastikan terlaksana oleh semua pihak terutama kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Nurhafizul berkata, di sebalik larangan berhimpun itu, penghargaan harus diberikan kepada pihak polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak atas kerjasama diberikan untuk membantu merealisasikan himpunan berkenaan.

Jelasnya, semua pihak diharap dapat mematuhi serta menghormati arahan pihak polis dan undang-undang negara berhubung larangan tersebut.

"Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama turun melawat Menara Condong sambil mengibarkan bendera Malaysia pada hari Sabtu ini, 16 November 2024 jam 5 petang.

Artikel Berkaitan:

"Mengunjungi Menara Condong untuk bersantai tidak memerlukan permit dan mengibarkan bendera Malaysia bukanlah satu kesalahan. Hadir beramai-ramai dengan keluarga dan sahabat. Kita penuhkan Menara Condong dengan kibaran Jalur Gemilang tanda cinta kita kepada Malaysia," katanya.

Jelasnya, aktiviti itu juga merupakan sebahagian usaha bersama menjayakan Tahun Melawat Perak 2024 kerana Menara Condong merupakan salah satu lokasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi.

Pada Rabu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri memaklumkan tiada sebarang kebenaran diberikan kepada penganjuran sebuah program mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong yang dijadual pada esok jam 5 petang.

Ini kerana pihak polis telah menerima maklum balas daripada pemilik Dataran Menara Condong Teluk Intan iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang tidak memberi kebenaran kepada penganjur mengadakan perhimpunan tersebut atas alasan dataran tidak sesuai sebagai tempat berhimpun.

Disebabkan itu pihak penganjur didapati gagal mengemukakan persetujuan pemilik tempat berhimpun iaitu MPTI seperti mana dinyatakan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!