Semat pendekatan ‘brek’ dalam kehidupan

PENDEKATAN 'brek' atau berhenti seketika diperlukan seseorang dalam menjalani urusan seharian bagi membolehkan kita merenung diri atau berfikir sebelum bertindak agar tidak menyesal pada kemudian hari. -Foto: CANVA
PENDEKATAN 'brek' atau berhenti seketika diperlukan seseorang dalam menjalani urusan seharian bagi membolehkan kita merenung diri atau berfikir sebelum bertindak agar tidak menyesal pada kemudian hari. -Foto: CANVA
A
A
A

SEMEWAH mana pun sesebuah kereta tetapi jika tiada brek, ia akhirnya boleh melencongkan pemandu dan penumpangnya jatuh ke dalam gaung.

Demikian analogi mudah bagi menggambarkan mereka yang gagal mengurus kewangan mengikut wahyu Ilahi dan petunjuk nabawi.

Pakar kewangan, Shamsuddin Kadir menjelaskan, isu kewangan bukan sekadar tahu ilmu berkaitan, tetapi juga mengimplementasikannya mengikut panduan dalam al-Quran.

Contohnya tidak membazir ketika berbelanja, tidak menipu timbangan semasa urusan jual beli, istiqamah membayar zakat dan sebagainya.

SHAMSUDDIN
SHAMSUDDIN

“Orang yang beriman dengan ayat-ayat al-Quran akan mempraktikkan apa yang terkandung di dalam kitab suci itu hinggakan kurang berbelanja kerana merasakan tiada keperluan.

“Andai kata (contohnya) mereka mempunyai RM1,000 dan bawa ke (Pulau) Langkawi, ia tidak habis dibelanjakan. Ada orang pula, wang sebanyak itu habis semuanya.

Artikel Berkaitan:

“Ia bukan soal kedekut dan seumpamanya, sebaliknya inilah yang dinamakan sebagai brek atau berhenti seketika sebelum seseorang berbelanja atau melakukan suatu perkara,” katanya ketika menjadi panel dalam program Siri 11 Sinar Al-Jumu’ah Khas 2024 bertajuk ‘Kejar akhirat, dunia ikut’ baru-baru ini.

Sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada fitrah manusiawi antaranya menyukai kebendaan dan kemewahan.

ISU kewangan bukan sekadar tahu ilmu berkaitan, tetapi juga mengimplementasikannya mengikut panduan dalam al-Quran seperti tidak membazir ketika berbelanja, tidak menipu timbangan semasa urusan jual beli, istiqamah membayar zakat dan sebagainya. -Foto: CANVA
ISU kewangan bukan sekadar tahu ilmu berkaitan, tetapi juga mengimplementasikannya mengikut panduan dalam al-Quran seperti tidak membazir ketika berbelanja, tidak menipu timbangan semasa urusan jual beli, istiqamah membayar zakat dan sebagainya. -Foto: CANVA

Mengulas tentang perkara itu, Shamsuddin mendedahkan, kereta, beg tangan, majlis perkahwinan dan sambutan hari raya dilihat perkara yang menjadi ‘selekoh tajam’ bagi kebanyakan masyarakat di negara ini.

Bagi sebahagian kaum lelaki, katanya, kereta menjadi ‘cinta’ pertama mereka hinggakan pelbagai perkara sanggup dilakukan termasuk membeli aksesori kenderaan demi memuaskan kehendak peribadi.

“Begitu juga dengan wanita yang segelintirnya memiliki banyak beg tangan, sedangkan hanya mempunyai sepasang tangan sahaja.

“Satu lagi, saya lihat masyarakat Islam banyak berhabis duit ketika majlis perkahwinan hingga sanggup keluarkan RM40,000 dan banyak berbelanja semasa sambut hari raya, sedangkan dalam al-Quran tidak sebut (untuk berbuat) begitu,” katanya.

Tunduk ke bumi

Shamsuddin kemudian mengupas tentang kelompok berjaya dalam perniagaan, tetapi tidak percaya kepada Tuhan.

Menurut perspektifnya, andai kita hanya melihat dunia, memang itulah akan menjadi pusat perhatian, tetapi sebaliknya pula sekiranya kita berorientasikan kepada akhirat.

Beliau turut menegur tanggapan sebilangan masyarakat yang menilai seseorang itu berjaya apabila memiliki kereta mewah dan rumah besar atau mempunyai simbol kekayaan lain.

Kajian di Barat menunjukkan, orang yang merasakan dirinya ‘mahal’, dia tidak memerlukan simbol-simbol kekayaan palsu untuk dilekatkan pada badan atau sekelilingnya, ungkapnya.

“Kalau kita hendak ambil contoh tafsiran Barat yang melihat ‘kalau kalah berperang bermakna gagal’, tetapi Islam pula menyatakan bahawa ‘jika kita mati syahid, ia adalah satu kemuliaan’. Jadi tidak perlulah kita mengikut tafsiran Barat yang sebegitu.

DALAM menguruskan kehidupan masing-masing, ambillah pendekatan 'brek' atau berhenti seketika agar tidak terbabas daripada hala tuju hidup yang sebenar. -Foto: CANVA
DALAM menguruskan kehidupan masing-masing, ambillah pendekatan 'brek' atau berhenti seketika agar tidak terbabas daripada hala tuju hidup yang sebenar. -Foto: CANVA

“Samalah juga dengan kekayaan. Ingatlah, semua harta dan kemewahan itu termasuk dunia ini hanya sementara sahaja, Tuhan sudah janjikan balasan. Bagi saya, berjaya dalam Islam ini ialah orang yang boleh ke syurga. Selagi mana tidak boleh melangkah ke jannah, itu tidak dikira boleh berjaya,” terangnya.

Bagi mengurus keinginan manusia yang pelbagai agar tidak terbabas, pakar kewangan itu menitipkan pesanan agar sebaiknya kita tunduk ke bumi dengan melihat orang yang berada di bawah kita.

“Dari segi psikologinya, kita akan rasa hampa apabila melihat orang lebih daripada diri, tetapi berasa beruntung apabila melihat orang yang berada di bawah kita,” ungkapnya.

Sebelum mengakhiri bicaranya, Shamsuddin mengingatkan agar kita berzikir dalam setiap tindak-tanduk dilakukan termasuk ketika memasuki kedai untuk melakukan urus niaga.

“Berzikir ini bukannya (hanya ucapkan) Subhanallah saja. Semua perkara dilakukan memerlukan kita berfikir terlebih dahulu.

BERPADA-PADA dan bersederhanalah ketika berbelanja sebagaimana dianjurkan dalam Islam agar diri tidak terjerat dengan nafsu. -Foto: CANVA
BERPADA-PADA dan bersederhanalah ketika berbelanja sebagaimana dianjurkan dalam Islam agar diri tidak terjerat dengan nafsu. -Foto: CANVA

“Sebaiknya bacalah terjemahan al-Quran sebab walaupun seseorang tidak mempelajari ilmu kewangan dunia, tetapi jika dia mengikuti kalam ALLAH itu saja sudah membuatkan kita kaya-raya.

“Ini kerana orang yang mengikut al-Quran, tidak akan habis duitnya kerana bersikap sederhana ketika berbelanja, tidak membazir dan tunduk kepada nafsu,” ujarnya.

ANEKDOT

Hindari diri muflis di akhirat

- Rasulullah SAW menggambarkan golongan yang muflis di akhirat sebagai mereka yang datang pada hari kiamat membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya, tetapi pada masa sama turut membawa dosa-dosanya.

- Muflis di akhirat turut digambarkan sebagai:

1. Golongan manusia tidak berakhlak terhadap orang lain dengan lebih suka menjaga tepi kain orang seperti mengumpat, mengeji, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain.

BERDOALAH agar kita tidak tergolong dalam kelompok yang muflis di akhirat. -Foto: CANVA
BERDOALAH agar kita tidak tergolong dalam kelompok yang muflis di akhirat. -Foto: CANVA

2. Seseorang dikategorikan sebagai muflis amal kebajikan kerana tidak memberi faedah yang boleh dinikmatinya sbab ia ditolak oleh ALLAH dan terpaksa membayar ganti rugi kepada mangsa kezalimannya.

3. Setiap orang dikehendaki menyelesaikan hak-hak manusia atau dosa berkaitan dengan hak manusia seperti hutang yang belum dibayar, mengumpat, menzalimi orang lain dan belum mendapat kemaafan. Semuanya dibayar dengan amal ibadahnya yang dinilai mengikut neraca ALLAH. Jika gagal atau tidak cukup, maka dosa-dosa orang dizalimi dipindahkan kepadanya, lalu dibawa ke neraka.

*Sumber: www.yadim.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!