Penganggur didakwa bunuh ibu saudara

Hao Yi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas selesai prosiding pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada Jumaat.
Hao Yi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas selesai prosiding pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan melakukan bunuh ibu saudaranya, minggu lalu.

Tertuduh, Lee Hao Yi, 21, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Siti Nora Sharif, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Lee Huey Ting, 54.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang dalam daerah Kinta antara jam 1 pagi, 6 November sehingga jam 8.25 pagi pada 10 November 2024.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 18 Februari 2025.

Media melaporkan bau busuk dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh Ahad lalu, sebelum menahan seorang lelaki yang merupakan anak saudara mangsa.

Artikel Berkaitan:

Siasatan lanjut mendapati rasa tidak berpuas hati dikongkong dipercayai menjadi motif utama lelaki itu bertindak mengasari ibu saudaranya sebelum ditemukan mati dalam bilik.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, suspek mengaku melakukan perbuatan itu dengan menumbuk mangsa berkali-kali sehingga wanita itu terjatuh tangga sebelum bertindak mengurung mangsa yang tidak sedarkan diri dalam bilik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!