Pembantu dapur warga Thailand kekal lepas, bebas tuduhan bunuh
SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini kekal dengan keputusan melepaskan dan membebaskan seorang pembantu dapur warga Thailand daripada pertuduhan membunuh rakan senegara di belakang sebuah restoran di Taman Bukit Emas, lima tahun lalu.
Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah dalam kes pihak pendakwaan.
"Saya juga teliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan bukan sahaja daripada pihak pembelaan semata-semata tetapi juga pihak pendakwaan.
"Dalam perbicaraan ini, saya dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes ini melampau keraguan munasabah," katanya dalam penghakimannya pada keputusan di akhir pembelaan pada Jumaat.
Mengikut pertuduhan, Alsu Nichi, 24, didakwa membunuh Abdul Rosah Jamu, 24, di belakang sebuah restoran di Jalan Tampin Bukit Emas di sini pada jam 9.30 malam, 21 April 2019.
Berikutan itu, tertuduh yang berasal dari Pattani, Thailand didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, seramai 18 saksi telah dipanggil memberi keterangan.
Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz.
Pada 16 Disember 2022, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Seremban telah melepaskan dan membebaskan tertuduh atas pertuduhan itu tanpa dipanggil untuk membela diri.
Bagaimanapun pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu telah merayu kepada Mahkamah Rayuan.
Pada 30 Mei lalu, Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim telah membenarkan rayuan pendakwaan dan mengarahkan Mahkamah Tinggi Seremban mendengar pembelaan tertuduh.
Pada 5 September lalu, tertuduh telah membela diri dengan memberi keterangan selain memanggil seorang doktor dan memanggil semula pegawai penyiasat kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!