Unit Siber Taktikal dan Teknikal tangani jenayah komersial - Razarudin
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Unit Siber Taktikal dan Teknikal bagi menangani jenayah komersial dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penubuhan unit di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) ini diharap dapat menambah keupayaan pihak berkuasa menangani ancaman siber secara efektif.
Menurutnya, jenayah komersial kini semakin kompleks dengan kemunculan teknologi AI yang mengubah modus operandi penjenayah sehingga menuntut PDRM mengadaptasi langkah lebih proaktif dan berinovasi.
“Salah satu contoh yang membimbangkan ialah penggunaan teknologi 'deepfake' yang membolehkan penjenayah mencipta kandungan palsu, baik dalam bentuk video, gambar serta audio untuk memperdaya mangsa.
“Dalam usaha menambah baik keupayaan JSJK, Unit Siber Taktikal dan Teknikal ditubuhkan dengan cadangan awal sebanyak 22 perjawatan, namun buat masa ini 17 perjawatan telah diisi bagi memulakan operasi fasa pertama,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman pada Jumaat.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, sebanyak 691 perjawatan telah dikenal pasti dan diambil dari jabatan-jabatan lain bagi memenuhi keperluan JSJK.
Jelasnya, penstrukturan semula perjawatan yang sedia ada di dalam JSJK melibatkan 906 perjawatan telah dilakukan melalui kaedah agihan dalam jabatan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejarah baharu pada tahun ini apabila Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai lalu.
"Pindaan ini adalah merangkumi penambahan Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D Kanun Keseksaan dan Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah.
"Pindaan bagi Kanun Keseksaan adalah berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan akaun keldai termasuklah memiliki, mengawal menyerahkan dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang instrumen pembayaran," katanya.
Tambahnya, selain itu, pindaan bagi Kanun Tatacara Jenayah bakal memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang daripada Sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan.
"Saya percaya, penguatkuasaan peruntukan-peruntukan ini dapat memperkasa usaha serta tindakan siasatan kes-kes jenayah komersil.
"Malah, hukuman yang lebih tegas terhadap kesalahan penggunaan akaun keldai juga diyakini akan membantu mengurangkan perlakuan jenayah komersial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!