Orang 'besar' atau 'kecil' peraturan perlu dipatuhi
KOTA KINABALU - Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2007) bagi kawasan Taman-Taman Sabah (TTS) terpakai kepada semua pihak dan jika berlaku perlanggaran peraturan boleh dikenakan denda RM3,000.
Pengarah Borneo Divers, Datuk Abdul Hajan Gurimbang berkata, peraturan TTS itu terpakai kepada semua pihak tanpa ada sebarang keistimewaan termasuk pelabur yang berminat untuk melabur di Semporna.
"Tidak ada istimewa dalam peraturan. Sepatutnya individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda RM3,000 di bawah enakmen tersebut.
"Sebelum ini, kumpulan penyelidik pun pernah didenda ketika melakukan kerja penyelidikan di kawasan pulau yang ditutup, jadi sepatutnya jika ada yang melanggar peraturan tersebut juga boleh dikenakan denda," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu seorang usahawan kosmetik yang memasuki Pulau Sipadan, Semporna, yang kini ditutup untuk tujuan restorasi oleh pihak TTS.
Sebagai pemain industri pelancongan di daerah itu, Abdul Hajan memaklumkan mereka hanya menyedari isu berkenaan apabila ia tular di media sosial.
"Bila masuk ke dalam pulau ini, sepatutnya dia boleh dikenakan denda oleh TTS kerana selama sebulan pulau itu ditutup dan semua pelancong tidak dibenarkan masuk pada November setiap tahun.
"Perkara ini sudah dimaklumkan melalui surat pekeliling dari TTS dan mungkin usahawan itu tidak mengetahui mengenai pekeliling tersebut tetapi apabila dia di sana barulah wujud isu ini setelah ia ditularkan di media sosial.
"Penguatkuasaan ini perlu ditegaskan dan untuk semua, tanpa memilih sama ada 'orang besar', 'orang kecil' sebab peraturan itu diwujudkan supaya kita mematuhinya," katanya.
Sementara itu, pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan TTS berhubung perkara tersebut.
"Mungkin ada sebab TTS membuat keputusan sewaktu pulau itu ditutup dan kita serahkan kepada kebijaksanaan TTS, saya fikir TTS tahu apa yang mereka buat," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tindakan usahawan bergelar Datuk Seri memasuki Pulau Sipadan di Semporna, yang ketika ini sedang ditutup mengundang persoalan dalam kalangan pemain industri selaman.
Bagaimanapun, usahawan tersebut Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida (DSV) mengakui masuk ke pulau itu dan memohon maaf jika tindakannya itu mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak.
Beliau turut menjelaskan dia masuk ke pulau itu adalah atas urusan perniagaan dan dalam masa sama hanya melakukan aktiviti selam paras permukaan bukannya melakukan Discovery Scuba Diving.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!