Saksi utama demam, bicara kes Lim Guan Eng tangguh

Perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, ditangguhkan berikutan saksi utama pendakwaan cuti sakit kerana demam.Gambar fail
Perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, ditangguhkan berikutan saksi utama pendakwaan cuti sakit kerana demam.Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, ditangguhkan berikutan saksi utama pendakwaan cuti sakit kerana demam.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat berkata, pihaknya akan menyerahkan sijil cuti sakit saksi pendakwaan ke-23 iaitu bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, kepada mahkamah pada prosiding akan datang.

"Untuk makluman sepatutnya hari ini (Jumaat) sambung pemeriksaan balas saksi berkenaan, namun pagi ini kami dimaklumkan bahawa saksi itu demam dan sijil cuti sakit akan diserahkan kepada mahkamah pada prosiding akan datang.

"Kami sedia maklum tarikh perbicaraan pada 25 dan 26 November ini telah dilapangkan, oleh itu kami mohon tarikh perbicaraan yang baharu,” katanya.

Menurut Mahadi, tarikh sambung perbicaraan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah pada 27 dan 28 Februari; 14, 15 dan 25 April; 14, 16, 27 dan 28 Mei; 24 dan 25 Jun; 10, 11, 22, dan 23 Julai; 19, 20, 27 dan 29 Ogos; 23 dan 24 September; 14 dan 15; 29 dan 30 Oktober serta 12 dan 13 November pada 2025.

Peguam, RSN Rayer yang mewakili Guan Eng mengesahkan perkara itu dan bersetuju dengan tarikh perbicaraan tersebut.

Hakim, Azura Alwi membenarkan perbicaraan kes hari ini ditangguhkan dan, tarikh 25 dan 26 November dilapangkan.

"Perbicaraan kes bersambung pada tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!