Lelaki warga Indonesia dicekup jual burger tanpa lesen

Penguat kuasa MPKS memeriksa dan menyita sebuah gerai burger di Bandar Saujana Putra di sini pada malam Khamis.
Penguat kuasa MPKS memeriksa dan menyita sebuah gerai burger di Bandar Saujana Putra di sini pada malam Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki warga Indonesia yang baru setahun memasuki negara ini dengan mengambil upah menjual burger tanpa lesen membawa padah apabila dicekup pihak berkuasa dalam operasi penjaja warga asing di Bandar Saujana Utama di sini pada malam Khamis.

Tindakan lelaki berusia lingkungan 30-an itu turut menyebabkan semua peralatan perniagaannya disita serta-merta dan dikenakan kompaun.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi jam 8.30 malam itu dijalankan berikutan aduan awam mengenai aktiviti perniagaan warga asing di kawasan berkenaan.

"Perniagaan ini bukan saja beroperasi tanpa lesen di petak parkir kenderaan malah menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya ketika ditemui semasa operasi berkenaan.

Operasi khas selama lebih dua jam itu disertai sepasukan 27 pegawai dan anggota Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Kesihatan MPKS.

Mohamad Lutfi memberitahu, berdasarkan syarat permohonan lesen, peniaga mestilah diwajibkan kepada warga tempatan berusia 18 tahun ke atas dan tidak boleh mengambil warga asing sebagai pembantu.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas diambil ke atas peniaga burger itu dengan sitaan dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 42(1) Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.

Beliau menjelaskan, kesemua barang sitaan itu dibawa ke Depoh Simpanan MPKS bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penjaja burger warga asing itu berkata, dia bekerja di gerai itu sejak tiga bulan lalu dengan dibayar upah sebanyak RM60 sehari bermula jam 5 petang hingga 1 pagi.

"Saya baru selesai membuang air di tandas restoran berdekatan terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa.

"Saya baru masuk ke Malaysia Januari lalu dan ini kali pertama saya dikenakan tindakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!