22 pegawai PDRM terlibat jenayah komersial tahun lalu - KPN

Razarudin semasa ucapan Sempena Perhimpunan Bulanan anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Aman pada Jumaat. Foto PDM
Razarudin semasa ucapan Sempena Perhimpunan Bulanan anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Aman pada Jumaat. Foto PDM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 22 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam kes jenayah komersial tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lebih membimbangkan apabila melihat peningkatan jumlah pembabitan pegawainya dalam kes jenayah komersial pada tahun ini.

"Pada tahun 2023, seramai 22 orang pegawai PDRM sebagai suspek dalam kes-kes jenayah komersial.

"Lebih membimbangkan, jumlah penglibatan pegawai PDRM dalam kes-kes jenayah komersil meningkat kepada 23 orang pada tahun ini setakat September," katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Aman, pada Jumaat.

Ujar beliau, kewibawaan dan imej PDRM tercalar dengan penangkapan segelintir warga pasukan itu atas pelbagai kesalahan jenayah, dadah, rasuah serta salah guna kuasa.

Razarudin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan pegawai polis dari Singapura, Superintendan Ho Ban Hsiung Sempena Perhimpunan Bulanan anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Aman pada Jumaat. Foto PDRM
Razarudin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan pegawai polis dari Singapura, Superintendan Ho Ban Hsiung Sempena Perhimpunan Bulanan anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Aman pada Jumaat. Foto PDRM

"Saya amat kecewa dan terkilan apabila amanah di sebalik seragam biru yang kita banggakan ini telah disalah guna oleh mereka yang rasanya tidak keterlaluan jika saya ibaratkan sebagai manusia yang tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri.

"Acap kali saya menekankan tentang perlunya satu perubahan drastik dilakukan terhadap budaya kerja dan tahap integriti di dalam diri setiap warga PDRM. Ini agar pasukan kekal relevan dan dihormati oleh masyarakat," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, walaupun berulang kali telah diberikan ingatan dan amaran, tahap integriti serta pematuhan standard warga pasukan masih berada di tahap yang membimbangkan.

Justeru, sempena dengan Pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 bertemakan 'Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi', PDRM menyambut baik segala usaha murni kerajaan dalam memperkasakan pembudayaan integriti.

Dalam majlis itu, Razarudin berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan kepada 51 pegawai polis dan pegawai awam daripada semua jabatan dalam PDRM.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua penerima atas dedikasi dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!