RM2 juta naik taraf tiga klinik kesihatan uzur di Johor

Onn Hafiz meninjau keadaan klinik kesihatan yang disifatkan sebagai uzur. - Foto: Facebook Onn Hafiz
Onn Hafiz meninjau keadaan klinik kesihatan yang disifatkan sebagai uzur. - Foto: Facebook Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengambil langkah segera menyalurkan peruntukkan sebanyak RM2juta bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Gelang Patah, Majidee dan Tebrau yang uzur.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukkan itu bagi jangka masa pendek yang membabitkan naik taraf peralatan antaranya mesin ultrasound, pendingin hawa dan kerusi di ruang menunggu.

"Susulan lawatan saya ke Klinik Kesihatan Gelang Patah, saya telah mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu klinik kesihatan yang daif, uzur dan sesak di negeri ini iaitu di Gelang Patah, Majidee, Tebrau dan KK Kulai.

"Dalam perjumpaan ini, kami membincangkan pelbagai isu dan mencadangkan penyelesaian secara berfasa untuk menangani masalah tersebut.

Keadaan tempat duduk yang uzur di klinik kesihatan yang perlukan perhatian segera. - Foto: Facebook Onn Hafiz
Keadaan tempat duduk yang uzur di klinik kesihatan yang perlukan perhatian segera. - Foto: Facebook Onn Hafiz

"Bagi penyelesaian jangka masa sederhana pula kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1 juta bagi pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak Klinik Kesihatan Gelang Patah ke premis lain untuk menampung keperluan dan kepadatan penduduk di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, sebanyak RM1 juta turut diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk kemudahan tempat letak kereta orang awam di Klinik Kesihatan Gelang Patah.

Beliau berkata, langkah penyelesaian jangka masa panjang pula melibatkan pembinaan Klinik Kesihatan Gelang Patah, Klinik Kesihatan Majidee dan juga Klinik Kesihatan Kulai yang baharu di mana terdapat tapak tanah yang telah dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz mengadakan perbincangan bersama jabatan berkaitan bagi mencari penyelesaian isu kesesakan klinik kesihatan khususnya di Johor Bahru, Kulai dan Iskandar Puteri. - Foto: Facebook Onn Hafiz
Onn Hafiz mengadakan perbincangan bersama jabatan berkaitan bagi mencari penyelesaian isu kesesakan klinik kesihatan khususnya di Johor Bahru, Kulai dan Iskandar Puteri. - Foto: Facebook Onn Hafiz

"Kerajaan negeri yakin dengan bantuan dan sokongan kerajaan Persekutuan, isu klinik daif dan uzur ini dapat diselesaikan.

"Semoga segala usaha dalam menambah baik fasiliti kesihatan yang dilaksanakan ini dapat diterjemahkan demi keselesaan Bangsa Johor, sekali gus memberi impak positif dari segi kualiti kehidupan seharian,"katanya.

Pada bulan lalu, Onn Hafiz dalam lawatan mengejutnya di KK Gelang Patah melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan keadaan klnik kesihatan tersebut yang disifatkan sangat daif.

Beliau dalam lawatan itu turut berkongsi keadaan ruang menunggu yang sesak dan sempit, selain keadaan fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang usang serta rosak.

Selain itu, kemudahan parkir kenderaan yang terhad dan tidak tersusun di kawasan klinik, dan berlaku kekurangan aset seperti mesin ultrasound dan komputer.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!