6 modus operandi utama penipuan online paling kerap direkodkan - KPN

Razarudin bersalaman dengan pegawai JSJK semasa Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman pada Jumaat. Foto PDRM
Razarudin bersalaman dengan pegawai JSJK semasa Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman pada Jumaat. Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenayah penipuan dalam talian melibatkan enam modus operandi utama merupakan kategori jenayah yang paling kerap dilaporkan setiap tahun.

Modus operandi itu ialah jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, jenayah e-dagang, love scam, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud yang merekodkan 24,671 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM1.04 bilion setakat September tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagi tahun 2024, beliau difahamkan statistik kes jenayah komersil yang dilaporkan sehingga September adalah sebanyak 29,010 kes berbanding 30,422 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Ini menunjukkan penurunan sebanyak 4.6 peratus atau bersamaan 1,412 kes.

"Namun, jumlah kerugian yang direkodkan bagi tempoh sembilan bulan tahun ini sebanyak RM1.98 bilion, di mana menyaksikan peningkatan sebanyak 22.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya," katanya semasa Perhimpunan Bulanan PDRM anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman pada Jumaat.

Tambah Razarudin, sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2021, sebanyak 102,376 kes jenayah komersial telah disiasat melibatkan nilai kerugian mencecah RM6.05 bilion.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam aspek tindakan pembanterasan, seramai 18,506 individu ditahan menerusi 17,661 operasi pelbagai kesalahan jenayah komersil pada tahun ini setakat September.

Jelas beliau, bagi tempoh sama, sebanyak 13,184 kertas siasatan berjaya dibawa ke peringkat pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan ini turut melaksanakan 7,267 program pencegahan jenayah di seluruh negara meliputi pameran, ceramah, kolaborasi media dan aktiviti 'meet & greet' untuk meningkatkan kesedaran awam agar mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Razarudin turut mengingatkan seluruh warga PDRM, kematangan usia pasukan dan kejayaan yang dikecapi bukanlah satu kebanggaan untuk terus mendabik dada.

"Sebagai agensi penguat kuasa yang sedia berkhidmat 24 jam tujuh hari seminggu kepada masyarakat dan negara, PDRM perlu sentiasa peka dengan ancaman semasa, bersiap siaga dalam mengadaptasi apa jua cabaran yang mendatang serta bertindak pantas dalam mengawal keadaan.

"Justeru, di bawah satu panji Sang Saka Biru, saya mahu 10 jabatan dalam PDRM saling lengkap-melengkapi dan seluruh warga PDRM bersatu hati dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!