'Tidak sanggup lihat anak saudara hidup terabai'

Mohd Ashraf akan memukul tanggungjawab menjaga tiga anak saudaranya sebaik mungkin.
Mohd Ashraf akan memukul tanggungjawab menjaga tiga anak saudaranya sebaik mungkin.
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun kehidupan keluarga Mohd Ashraf Mohammad Shah, 26, serba kekurangan, namun keluarganya tidak sanggup melihat nasib tiga anak saudara hidup terabai.

Mohd Ashraf dan isteri mengambil tanggungjawab menjaga mereka selepas suami kakaknya meninggal dunia akibat Covid-19, empat tahun lalu.

Dia mengakui tanggungjawab itu bukannya, tambah pula dirinya hanya bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan.

Selain perlu menanggung empat anak yang masih kecil, anak ketiganya yang berusia tiga tahun pula diuji dengan penyakit buah pinggang bocor dan darah tinggi.

Menurut bapa kepada empat anak berusia antara satu hingga tujuh tahun itu, dia yakin dengan rezeki ALLAH buat mereka sekeluarga.

"Saya memang tak sanggup biarkan anak saudara berusia 10, lima dan tiga tahun itu dibiarkan dalam keadaan tak terurus.

"Walaupun saya susah, saya yakin ALLAH akan beri rezeki pada saya dan itu yang saya pegang dari hari pertama saya ambil mereka tiga bulan lalu sampai sekarang," katanya ditemui di rumah sewanya di Taman Marida di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sebelum ini anak saudaranya itu dijaga seorang lagi kakaknya di Rantau, di sini namun diambil semula oleh ibu mereka pada 2021.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun ujarnya, dia mendapati anak saudaranya yang sulung dibiarkan tidak bersekolah selama empat tahun, malah turut diberitahu dibiarkan dalam keadaan tidak terurus.

"Selepas suami kakak saya meninggal, kehidupannya dengan anak-anak terumbang-ambing kerana selama ini dia bergantung sepenuhnya dengan arwah.

"Keadaan rumahnya juga bagi saya tidak sesuai untuk anak-anak membesar dan disebabkan itu saya nekad mengambil mereka tinggal bersama saya," katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana urusan persekolahan anak saudaranya yang berusia 10 tahun telah dibantu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Zulkifli (kiri) melawat Mohd Ashraf dan isteri serta tiga anak saudaranya di rumah sewa mereka di Taman Marida, Seremban.
Zulkifli (kiri) melawat Mohd Ashraf dan isteri serta tiga anak saudaranya di rumah sewa mereka di Taman Marida, Seremban.

Katanya, tiada lain yang dia harapkan supaya kesemua anak saudaranya itu dapat diberi pendidikan terbaik demi masa depan mereka.

"Nak bantu dari segi kewangan, saya tak mampu. Jadi saya ambillah tanggungjawab menjaga mereka," katanya.

Selain itu katanya, bagi menampung hidupnya sekeluarga, isterinya berniaga roti canai di sebuah restoran di Senawang.

Ujar Mohd Ashraf, sekiranya duit mereka tidak mencukupi, isterinya akan menjaja kuih-muih di sekitar Pantai Teluk Kemang, Port Dickson.

"Tanggungjawab saya dan isteri makin besar dan jika ikutkan, kos lampin pakai buang untuk tiga anak dan anak saudara sudah mencecah RM350 sebulan.

"Sewa rumah pula RM700 sebulan dan itu belum lagi urusan perubatan anak ketiga yang juga minum khas dengan perbelanjaan sebanyak RM320 sebulan," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Sebelum itu mereka menerima kunjungan Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed yang menyampaikan sumbangan.

Zulkifli berkata, pihaknya akan berusaha membantu sebaik mungkin keperluan keluarga terbabit bagi meringankan beban mereka.

"Walaupun mereka sendiri hidup susah, tapi masih memikirkan anak-anak ini terutama mahu memastikan pendidikannya tidak terabai.

"Apa yang mereka lakukan ini besar maknanya dan boleh menjadi inspirasi kepada yang lain," katanya.

Sinar Harian pernah melaporkan mengenai anak ketiga keluarga ini yang sakit pada tahun 2022 dan Mei tahun ini.

Orang ramai yang menyalurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi Mohd Ashraf di talian 011-17452936.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!