KBS proaktif perkasa kemahiran belia
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) meneruskan usaha proaktif menerusi inisiatif intervensi sosial program Rakan Muda: Skills For Life@AKBG dalam bidang perkhidmatan kedi.
Perkhidmatan tersebut adalah hasil cetusan idea Menterinya, Hannah Yeoh yang dilaksanakan menerusi Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) KBS, dan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.
Program itu bagi memberi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) dalam bidang perkhidmatan kedi kepada prospek Penjara Kajang berumur di antara 18 hingga 30 tahun untuk memenuhi keperluan sumber tenaga kerja sektor industri golf di Malaysia.
Sebagai program rintis bagi Siri 1, seramai 20 prospek lelaki di Penjara Kajang telah mengikuti latihan kemahiran bidang perkhidmatan kedi dengan mendapat bimbingan tenaga pengajar bertauliah daripada AKBG.
Program tersebut dilaksanakan di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang bermula 14 hingga 18 Oktober lalu.
Hannah berharap, pelaksanaan program itu mampu menjadi platform perubahan terbaik kepada peserta terutamanya kumpulan belia berisiko seterusnya memperkukuhkan ekosistem pembangunan belia selaras dengan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030) dan kerangka Malaysia Madani.
Beliau berkata, menerusi program tersebut diharap dapat membantu meningkatkan kompetensi individu serta membuka peluang kepada mereka menceburi bidang pekerjaan dalam sektor industri golf.
“Tiada siapa akan ditinggalkan dalam agenda pembangunan belia di bawah KBS. Saya akan pastikan semua kelompok belia mendapat akses kepada latihan kemahiran dan pembangunan dalam pelbagai aspek,” katanya.
Pelancaran majlis itu turut dihadiri Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali.
Sebagai rekod, Rakan Muda: Skills For Life@AKBG merupakan program pembangunan kemahiran di bawah gaya hidup rakan mahir bagi membantu peserta mendapat pekerjaan dan kemudiannya menjalani kehidupan yang lebih baik setelah tamat tempoh tahanan.
Ia juga menyediakan peluang kepada prospek Penjara Kajang untuk menyambung pengajian dalam bidang TVET Sukan menerusi latihan kemahiran sepenuh masa di Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).
Objektif program juga bagi memperkukuh jalinan kerjasama rentas agensi kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif intervensi sosial belia.
Malah, menerusi program itu juga diharap dapat membina persepsi positif masyarakat terhadap prospek dari Penjara Kajang seterusnya membantu mereka untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!