Ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2024

Gabenor BNM, Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (kanan) bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menunjukkan laporan KDNK dan Laporan Suku Tahunan BNM selepas sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2024 di Sasana Kijang pada Jumaat. Foto Bernama
Gabenor BNM, Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (kanan) bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menunjukkan laporan KDNK dan Laporan Suku Tahunan BNM selepas sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2024 di Sasana Kijang pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

EKONOMI Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, memandangkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, purata pertumbuhan bagi tempoh tiga suku terawal tahun ini mencapai 5.2 peratus.

"Aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan, manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2024 Malaysia di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, eksport terus mengukuh susulan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global.

Sementara itu, import juga berkembang pada kadar yang lebih pantas, berikutan permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kukuh untuk menyokong peningkatan pelaburan dan perdagangan, katanya.

"Dari segi penawaran, kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan khususnya, peningkatan dalam sektor perkilangan didorong oleh kelompok berorientasikan eksport.

"Bagaimanapun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyenggaraan dalam sektor perlombongan,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perkembangan aktiviti pelaburan yang kukuh, peningkatan eksport secara berterusan dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan dalam projek berbilang tahun merentas sektor swasta dan awam, katanya.

"Inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan induk nasional dan pelaksanaan yang lebih tinggi bagi pelaburan yang diluluskan juga merupakan pemacu utama bagi aktiviti pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan itu, yang disokong oleh import modal yang lebih tinggi, akan meningkatkan eksport dan mengembangkan kapasiti produktif dalam ekonomi.

Perbelanjaan isi rumah pula akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan gaji yang berterusan serta langkah-langkah dasar, katanya,

Beliau berkata, kitaran teknologi global di luar negara yang terus meningkat, permintaan kukuh yang berterusan untuk barangan perkilangan dan komoditi serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dijangka akan mempertingkatkan eksport.

Gabenor BNM berkata, prospek pertumbuhan Malaysia kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik dan langkah perlindungan perdagangan yang semakin meruncing serta pengeluaran komoditi yang lebih lemah daripada jangkaan.

Bagaimanapun, faktor yang boleh menyokong pertumbuhan yang lebih tinggi termasuk limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, pelaksanaan projek pelaburan yang lebih cepat dan aktiviti pelancongan yang lebih mantap, katanya.


Inflasi Malaysia diunjur cecah purata antara 2.0 hingga 3.5 peratus pada 2025

INFLASI Malaysia diunjurkan mencecah purata antara 2.0 hingga 3.5 peratus pada 2025, dengan mengambil kira langkah dasar domestik yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api RON95 dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut diambil kira.

"Risiko kenaikan unjuran itu kekal bergantung kepada sejauh mana kesan daripada langkah dasar domestik seterusnya yang mempengaruhi harga secara lebih meluas.

"Risiko yang berlarutan daripada perkembangan luaran juga boleh meningkatkan harga komoditi global atau mengganggu keadaan bekalan global,” katanya semasa sidang media bagi mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2024 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, dari sudut negatif, inflasi domestik yang lebih rendah boleh berlaku akibat pertumbuhan global yang lebih lembap berbanding jangkaan, yang boleh mempengaruhi harga komoditi global dan keadaan ekonomi domestik melalui permintaan luaran yang lemah.

Bagi suku ketiga 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada 1.9 peratus.

"Walaupun ada beberapa item yang mengalami inflasi lebih tinggi, seperti diesel (20.1 peratus) dan insurans kenderaan (0.8 peratus) namun, ini telah diimbangi oleh penyederhanaan yang lebih menyeluruh bagi inflasi makanan dan minuman (1.6 peratus) sepanjang suku itu,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, inflasi asas yang stabil sepanjang suku itu menunjukkan kesan yang terhad kepada harga yang lebih luas susulan rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun.

Keadaan itu didorong oleh penguatkuasaan berkesan serta langkah mitigasi untuk meminimumkan kesan kos ke atas perniagaan, katanya.

Langkah menerusi Belanjawan 2025 iaitu pelaksanaan gaji minimum adalah tindakan yang positif untuk pertumbuhan ekonomi kerana akan menyokong penggunaan swasta.

"Dari segi inflasi, kita yakin kesanya akan agak terhad. Kita mendapati peningkatan gaji minimum yang dilaksanakan sebelum ini, kesannya ke atas inflasi adalah agak kecil," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!